[TERKINI] SELANGOR PERLU HENTIKAN SEGERA DASAR POPULIS

Monday 16 December 20130 comments


Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor tidak wajar meneruskan dasar-dasar populis setelah masuk penggal kedua pemerintahan mereka di negeri itu, kata Naib Pengerusi DAP negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang bertanggungjawab perlu mempunyai pandangan jauh tentang kebajikan rakyat dan bukan hanya memperkenal dasar populis seperti pemberian air percuma.

"Kerajaan (negeri) perlu mengajar rakyat memancing ikan supaya mereka boleh makan ikan setiap hari, bukannya memberi mereka makan ikan sahaja," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen DAP Selangor ke-17 di sini hari ini.

Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, menarik perhatian bahawa setelah lima tahun memerintah, hanya antara empat dan 10 peratus daripada belanjawan untuk semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digunakan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Ahli Parlimen (AP) Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baru di konvensyen parti itu, sementara AP Puchong, Gobind Singh Deo terpilih sebagai timbalan pengerusi.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh Tseow Suan menyertai Chang Khim sebagai naib pengerusi.

Sejumlah 699 dari 1,221 perwakilan parti menghadiri konvensyen itu. Sejumlah 687 perwakilan mengundi memilih jawatankuasa DAP Selangor.

Tiga puluh lima calon bertanding untuk 15 tempat dalam jawatankuasa parti di konvensyen dwi tahunan itu. Sesi perbahasan tertumpu kepada mengkritik Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). - BERNAMA



Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger