Di Jakarta, pihak berkuasa terpaksa menggunakan penyapu magnet untuk mengutip paku dan serpihan besi tajam yang ditabur di jalan raya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kini, fenomena buruk itu juga semakin menjadi-jadi di Lembah Klang.
Tindakan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan itu dipercayai perbuatan sesetengah mekanik jalanan mendapat untung atas kecelakaan orang lain.
Bukan semua tetapi mereka dilihat pihak yang mendapat untung daripada apa yang berlaku sekiranya tayar kenderaan orang rosak terkena paku.
Modus operandi itu tidak ubah seperti perangai buruk sesetengah sindiket kereta tunda di lebuh raya atau lebih dikenali sebagai longkai seperti di Lebuh Raya Karak.
Selain paku, longkai di lebuh raya menuju ke Pantai Timur itu juga menggunakan taktik membuang minyak hitam di jalan yang cerun dan menyebabkan sesetengah pemandu hilang kawalan dan menyebabkan kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan.
Malah ada yang melibatkan kematian. Bagaimanapun pada akhirnya laporan kematian hanya mengaitkan kerosakan kenderaan yang gagal berfungsi dengan baik sebagai punca kemalangan.
Jarang ada kajian forensik jalan raya yang meneliti punca sebenar dan menghantar laporan kepada Lembaga Lebuh Raya Malaysia untuk tindakan susulan.
Baru-baru ini, pihak PLUS mengadakan operasi mengutip paku yang ditabur di jalan sikal di lebuh raya sekitar Sungai Besi di sini dan mereka berjaya mengumpul hampir sekilo paku bertaburan di kawasan jalan.
Difahamkan, operasi itu dilakukan bersama-sama pengguna jalan raya selepas satu kejadian kemalangan melibatkan kematian seorang penunggang motosikal.
Menurut sumber, tayar motosikal pekerja kilang baja di Bangi itu terkena paku menyebabkan kenderaannya tidak dapat dikawal dan berlaku kemalangan.
Apa pun, sudah tiba masanya kerajaan melalui LLM, Majlis Keselamatan Jalan Raya dan syarikat konsesi jalan raya mengambil tindakan tegas dan menambah bilangan peronda mereka bertugas bagi menangani perkara itu.
Jika perlu, pinda undang-undang demi kebaikan bersama.
Bagi polis, soal siasat melibatkan mekanik jalanan perlu dilakukan bagi mengenalpasti dalang dan longkai terbabit untuk diambil tindakan.--MalaysiaGazette