SEPERTI dijangka, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah dipolitikkan oleh segelintir pihak demi kepentingan diri sendiri. Ini tidak langsung mengejutkan kerana sudah menjadi lumrah apabila disebut sahaja perkataan cukai, apa yang terlintas di fikiran manusia, ialah beban.
Itu secara kasarnya sedangkan kalau diteliti secara mendalam, membayar cukai sememangnya merupakan tanggungjawab bagi setiap warganegara sesebuah negara.
Tanggungjawab ini bukanlah kecil tetapi merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar sebagai seorang warganegara yang sentiasa sayangkan negara. Kenapakah saya berkata begitu?
Hujahnya cukup mudah, kita sering mempersoalkan apa yang kita akan dapat apabila melaksanakan sesuatu tugas. Biasalah dalam dunia serba materialistik, maka segala-galanya memerlukan wang. Tidak ramai golongan yang benar-benar melakukan kerja tanpa meminta bayaran.
Jadi, kalau kita sering mempersoalkan apa yang kita dapat, maka pihak lain juga boleh mempersoalkan apa yang mereka dapat.
Di sinilah hak kerajaan untuk bertanya kepada rakyat tentang tanggungjawab rakyat kepada negara.
Kita bekerja mencari nafkah dengan ada di antara warganegara Malaysia bergaji berpuluh-puluh ribu hatta beratus-ratus ribu sebulan, maka kenapakah kita perlu mempersoalkan pula tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dalam membayar cukai?
Terdapat dua kelebihan GST yang perlu diketahui oleh rakyat. Pertama, GST diperkenalkan bagi menutup ruang warganegara Malaysia yang liat membayar cukai.
Mereka ini adalah golongan yang kaya raya dan memperoleh kekayaan hasil di negara ini tetapi kerana terlalu tamakkan kekayaan, maka cukai tidak mahu dibayar. Bagi golongan ini, mereka berpendirian bahawa kekayaan yang dikumpul oleh mereka atas usaha mereka sendiri. Benarkah begitu?
Tidak mungkin seseorang itu boleh mengumpul kekayaan sehingga menjadi jutawan kalau bukan kerana pertolongan orang lain tidak kiralah individu mahupun kerajaan.
Sebagai contoh, ahli-ahli perniagaan yang kaya-raya sudah tentulah mereka menjual produk mereka kepada orang ramai, jadi bantuan orang ramailah yang menyebabkan mereka ini menjadi kaya-raya.
Kalau dilihat di sesetengah negara asing, kadar cukai pendapatan mereka cukup tinggi. Di Malaysia cukai pendapatan meskipun tidaklah terlalu rendah tetapi juga tidaklah begitu tinggi berbanding negara-negara lain sehingga membebankan rakyat.
Ramai rakyat Malaysia yang tidak tergolong dalam golongan pembayar cukai pendapatan. Bagaimanapun dek kerana terdapat golongan pembayar cukai yang tidak mahu membayar cukai kerana terdapat ruang untuk mereka menipu daripada membayar cukai, maka GST diperkenalkan bagi menangani isu yang cukup besar buat negara.
Lagipun, yakinilah, golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan kurang terbeban dengan pelaksanaan GST. Hujahnya, barang-barang asas dan keperluan rakyat yang merupakan perbelanjaan terbesar golongan ini tidak dikenakan GST.
Bagi golongan berpendapatan tinggi, perbelanjaan mereka adalah lebih besar lagi dan bukannya sekadar barangan keperluan asas.
Sebagai contoh, mereka ini diketahui suka berbelanja barangan mewah seperti menikmati hidangan di hotel-hotel ternama, membeli perabot yang mahal dan pakaian yang tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah, maka adalah adil untuk mereka dikenakan cukai atas perbelanjaan besar" mereka.
Kelebihan kedua GST adalah kutipan cukai akan lebih tinggi lagi kerana dapat membendung aktiviti ketirisan dalam sistem percukaian sedia ada.
Apabila kutipan GST menyumbang kepada peningkatan hasil negara, tidak lain tidak bukan yang mendapat manfaat besarnya adalah rakyat itu sendiri terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Lebih banyak wang boleh disalurkan kepada mereka. Misalnya sektor pendidikan yang lebih berkualiti dan taraf kesihatan rakyat Malaysia juga akan berjaya ditingkatkan.
Selain itu, dengan peningkatan hasil kerajaan, kerajaan berupaya untuk meningkatkan gaji kakitangan sektor awam. Manfaatnya cukup besar sekali selain kakitangan sektor awam akan dapat menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan mengurangkan beban seharian mereka, dijangkakan jumlah kes-kes penyelewengan dan rasuah akan berkurangan.
Ini kerana antara faktor utama berlakunya gejala rasuah disebabkan oleh pendapatan yang tidak mencukupi dalam menjalani kehidupan seharian. Buktinya, kadar hutang isi rumah negara semakin tinggi, kadar kemuflisan yang saban hari semakin tinggi dan kes-kes rasuah yang berlaku di sana-sini.
Kelebihan kedua ini jugalah akan membolehkan kerajaan untuk mentadbir urus negara dengan lebih mapan dan teratur.
Hutang negara akan dapat dikurangkan pada tahap terendah dan jika kerajaan mempunyai sumber kewangan yang cukup besar, tidak mustahil kerajaan mampu membayar semua hutang-hutang negara.
Tidakkah ini akan memberi imej yang baik dan reputasi yang tinggi kepada rakyat, ahli-ahli perniagaan, pelabur-pelabur, agensi penarafan dan negara-negara lain bahawa Malaysia ditadbir urus dengan baik?
Dengan ini, peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan dapat dijanakan dengan lebih banyak lagi apabila ekonomi negara berada dalam kedudukan terbaik.
Akhirnya, manfaat ini dinikmati oleh semua pihak hanya kerana dengan menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai warganegara Malaysia yang sayangkan Malaysia dan rakyatnya.
Hanya mereka yang tidak sayangkan Malaysia sahajalah yang sanggup melarikan cukai. Mereka inilah yang sesuai dikatakan sebagai warganegara yang tidak bertanggungjawab serta tidak patriotik kepada negara dan rakyat Malaysia.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia