Kerajaan Selangor didesak memberi penjelasan mengenai kerugian kira-kira RM4.8 juta setahun ditanggung Yayasan Selangor (YS) selepas bangunan milik mereka di Bukit Bintang gagal beroperasi sejak dua tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Sulaiman Abdul Razak berkata, kerugian itu terpaksa ditanggung akibat kegagalan mendapatkan kelulusan perintah pembangunan (DO) bagi kerja baik pulih daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Sebab itu saya minta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai isu berkenaan dalam dewan ini ketika perbahasan Rang undang-undang Enakmen Perbekalan (2014).
Bagaimanapun, perkara itu tidak dijawab oleh Menteri Besar," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, semalam.
Sulaiman berkata, hinggi kini kerajaan negeri juga masih gagal memberi penjelasan sepenuhnya mengenai status Asrama Tun Dr Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin di Kampung Pandan yang akan dirobohkan bagi tujuan pembangunan.
"Saya difahamkan tiada sebarang kerja pembangunan baru dijalankan di tapak asrama ini, namun proses pemindahan pelajar bagi kedua-dua asrama ini sudah pun dilakukan," katanya.