[TERKINI] KAMI SUDAH TIADA TEMPAT DI DALAM PAS - ULAMA

Monday, 25 November 20130 comments


APABILA kumpulan pro ulama dikatakan membuat kesepakatan untuk meletakkan seorang calon sahaja bagi kerusi Timbalan Presiden, ramai yang meramalkan penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu akan tumbang.

Andaian yang dibuat ialah pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 ini tidak akan berlaku pecahan undi bagi golongan pro ulama seperti tahun 2011 apabila Mat Sabu menduduki jawatan itu selepas menewaskan dua calon ulama iaitu, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun jangkaan itu ternyata meleset, Mat Sabu kekal sebagai orang nombor dua Pas apabila berjaya mengetepikan pencabar tunggalnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah dengan majoriti 98 undi.

Populariti ternyata memberi kelebihan kepada Mat Sabu memandangkan Mohd. Amar dilihat pemimpin di peringkat negeri sahaja.

Biar pun 'diserang' habis-habisan dalam blog dan media sosial sehingga beliau menganggap inilah kali pertama beliau melihat kempen pemilihan paling buruk dalam Pas namun semua itu tidak menghalang Mat Sabu untuk mencapai kemenangan.

Sama ada Mat Sabu menang 98 undi atau 21 undi seperti mana tahun 2011, beliau tetap pemenang dan berhak menjadi Timbalan Presiden Pas, tidak kira berapa pun jumlah undi yang diperolehi Mohd.Amar.

Bagi Mohd.Amar pula, ini merupakan kekalahan ketiga dalam usahanya untuk menduduki salah satu jawatan tertinggi dalam Pas. Sebelum ini, beliau pernah mencuba sebanyak dua kali untuk kerusi Naib Presiden tetapi tewas.

Sebab itulah, ada yang melihat Mohd.Amar memasuki gelanggang merebut jawatan Timbalan Presiden dalam keadaan rekod yang tercalar berbanding Mat Sabu.

Harapan penyokong golongan ulama sebenarnya kepada Tuan Ibrahim tetapi beliau mengambil keputusan untuk bertanding Naib Presiden sahaja biar pun dikatakan memperolehi pencalonan lebih banyak berbanding Mohd.Amar bagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara Tuan Ibrahim diramalkan tidak akan menghadapi masalah untuk menduduki salah satu kerusi Naib Presiden yang akan diumumkan hari ini, ramai tertanya-tanya apa akan berlaku kepada perjuangan ulama dalam Pas.

Ia memandangkan perwakilan dan ahli Pas ternyata mempunyai pertimbangan tersendiri dalam soal perjuangan politik parti itu.

Sebab itulah, dalam senarai Ahli Jawatankuasa Pas pusat yang terpilih, kumpulan ulama tidak sampai 10 orang. Antara yang terpilih termasuklah dua bekas pemimpin Dewan Pemuda Pas pusat iaitu Nasrudin Hassan dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Walaupun barisan kepimpinan yang terpilih tidak akan meminggirkan golongan ulama namun apa yang menjadi persoalan ke manakah haluan golongan itu selepas ini?

Ia memandangkan mereka tidak mempunyai kekuatan politik yang begitu jitu bagi menentukan hala tuju perjuangan Pas selepas ini. Sebaliknya, agenda politik parti tersebut ini dilihat akan ditentukan sepenuhnya oleh golongan profesional atau lebih popular digelar 'Anwarinas'.

Situasi ini juga akan memungkinkan peranan Dewan Ulama dan Majlis Syura Pas dilihat tidak lebih daripada pelengkap organisasi sahaja.

Kenyataan tegas golongan ulama sebelum ini yang mahu tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikaji semula dikatakan turut menjadi punca calon golongan ulama gagal mencapai kejayaan diharapkan.

Tindakan Dewan Ulama itu dikatakan mengecewakan banyak pihak dalam Pas yang berpendapat jika mahu menawan Putrajaya mereka perlu meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Malah ada antara mereka begitu bangga menganggap melalui tahaluf siyasi, Pas mampu menawan Kedah dan Perak pada tahun 2008, mempertahankan Kelantan dan berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang sehingga ke hari ini.

Selain itu, mereka juga berhujah bahawa Pas semakin diterima oleh bukan Islam kerana kerjasama tersebut, justeru kenapa golongan ulama memadai-madai mahukan ia dikaji semula?

Ternyata, biar pun dilayan seperti pak turut dan melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang, namun sebahagian ahli-ahli Pas tidak peduli, apa yang penting mereka mahu meneruskan keterujaan untuk bersama PKR dan DAP bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mungkin atas sebab itu jugalah, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib telah dikecam dan dicerca dalam laman-laman sosial sehingga ada ahli Pas tergamak menuduh golongan ulama 'gila kuasa'.

Golongan ulama turut dikaitkan dengan usaha mengadakan kerjasama dengan UMNO biar pun Dewan Ulama sudah menegaskan bahawa seruan supaya tahaluf siyasi disemak adalah bertujuan untuk menilai apakah keuntungan secara keseluruhan terutamanya kepada Islam.

Bagaimanapun niat murni golongan ulama ini tidak dipertimbangkan dengan telus dan ia terbukti apabila dalam sesi perbahasan majoriti perwakilan seolah-olah tidak berani untuk mengkritik layanan PKR dan DAP terhadap Pas.

Sebaliknya, semua lebih selesa mahu ia diperteguhkan dengan andaian sudah banyak keuntungan politik yang Pas perolehi.

Berikutan keputusan dalam pemilihan Pas kali ini, mana-mana pihak juga tidak boleh mengharapkan apa-apa lagi kepada perjuangan golongan ulama dalam parti itu.

Tambahan pula, sebelum ini usul Dewan Ulama yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamarnya pada Khamis lalu iaitu memasukkan satu fasal yang memperuntukkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri daripada ulama, tidak mendapat sambutan mana-mana pihak dalam Pas.

Ia secara langsung memberi isyarat kepada golongan ulama bahawa suara mereka semakin terpinggir dalam parti itu biarpun golongan itulah selama ini yang bertanggungjawab memperkasakan Pas. Apa pun, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan mengakui keterujaan ahli-ahli Pas untuk menampilkan satu barisan kepimpinan yang akan mampu memenuhi impian mereka untuk bersama-sama PKR dan DAP menawan Putrajaya.

Kalau selepas ini Pas akan terus dilayan sebagai 'penumpang' dalam pakatan pembangkang terima sahajalah kerana itu kehendak ahli-ahli parti tersebut. Oleh itu tidak keterlaluan untuk kita menyatakan tidak payahlah Pas bermimpi melaksanakan hukum hudud termasuklah di Kelantan kerana ia akhirnya akan menjadi retorik politik semata-mata dan sekadar 'hiburan' untuk berbahas di muktamar parti tersebut.

Ini kerana kita percaya dan yakin DAP serta PKR tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas untuk berbuat demikian. Setakat ini apa yang kita saksikan, hanya Pas yang ibarat 'syok sendiri' dalam soal hukum hudud dan lebih selesa untuk menuding jari kepada UMNO dan kerajaan BN jika ia tidak dapat dilaksanakan.

Dengan semakin kurangnya suara golongan ulama dalam penentu agenda politik Pas berikutan keputusan pemilihan semalam, maka apa juga agenda parti tersebut selepas ini sudah pasti memerlukan restu daripada PKR dan DAP. Tetapi tidak mengapalah kerana pemimpin, ahli dan penyokong Pas tidak mahu menerima pandangan orang di luar parti tersebut termasuklah media.

Bagi mereka, orang luar hanya bertujuan untuk mengkucar-kacirkan parti itu dan cuba memecah belahkan perpaduan pakatan pembangkang. Oleh itu, berilah peluang dan ruang kepada barisan baru kepimpinan Pas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Apa yang pasti, keputusan pemilihan kali ini sudah jelas membuktikan bahawa suara golongan ulama semakin dan akan terus 'terhakis' di dalam Pas.

Bagaimanapun sebagai salah seorang yang bertanggungjawab mencetuskan idea kepimpinan ulama dalam Pas, Mat Sabu tentulah memahami sentimen yang wujud berikutan apa yang berlaku. Tambahan pula beliau sudah berjanji, pihaknya akan meneruskan usaha mengukuhkan pakatan pembangkang berdasarkan usul-usul yang diluluskan dalam muktamar tersebut.

Dan untuk rekod, antara usul yang diluluskan tanpa bahas ialah, ''Dewan Ulama Pas Pusat mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas pusat mewujudkan khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syariah dengan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU-14.''

Adakah ini akan dilaksanakan? Terserahlah kepada barisan baru kepimpinan Pas menentukannya. Yang pasti orang Melayu di luar Pas sedang memerhati dan sebahagian besar mereka percaya keputusan pemilihan kali ini memungkinkan bak kata seorang teman dalam parti itu selepas keputusan diumumkan, ''Orang Pas memilih, ahli PKR dan DAP yang bertepuk gembira.' 'Apakah maksudnya, fikirlah sendiri. - Sallah Ad-din


Share this article :

Random Posts

 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger