[TERKINI] GANJARAN RM1,000 JIKA TANGKAP 'SI PEMBUAT' KACAU!!!

Friday 14 June 20130 comments


Individu yang menangkap atau memberikan maklumat kepada polis mengenai sesiapa yang membuat kekacauan atau menggunakan bahan larangan sewaktu final Piala FA pada 29 Jun ini, bakal mendapat sagu hati RM1,000 seorang.

Sagu hati sumbangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bertujuan mencegah kejadian yang tidak diingini dalam pertembungan Kelantan-Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia bertujuan membendung tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam seperti membakar atau melontar mercun, bunga api dan suar serta perkara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, 100 penyokong setiap pasukan juga dibenarkan masuk secara percuma untuk menjadi marsyal kumpulan masing-masing, supaya menjaga disiplin dan memastikan pergerakan penonton tidak melanggar peraturan.

"Perlawanan akhir kali ini turut diawasi 1,500 anggota dan pegawai polis serta 500 anggota Rela," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hadir sama Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Wira Salleh Mat Rashid.

Bagi mencegah kemungkinan tiket palsu, kata Hamidin, peralatan imbasan ultraungu dan lampu pengesan pintu lawang putar akan digunakan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab yang boleh memasuki stadium secara tidak sah.

"Kami turut mendapati Stadium Nasional boleh digunakan bagi perlawanan akhir pukul 8.45 malam selepas menjalankan pemeriksaan (kelmarin). Kedua-dua pasukan dibenarkan menjalani latihan 45 minit pada 28 Jun bermula 5 petang oleh Johor Darul Takzim, diikuti Kelantan pada pukul 6 petang," katanya.

Kata Hamidin, sebanyak 87,000 tiket akan dijual dengan FAM menyerahkan 30,000 keping kepada kedua-dua pasukan pada 24 Jun dan masing-masing boleh menjualnya mulai 25 Jun di stadium manakala tiket selebihnya dijual mulai 9 pagi 28 Jun sehingga hari perlawanan akhir.

"Seorang hanya empat tiket dan jika mahukan lagi, mereka perlu beratur semula. Harga tiket ditetapkan tanpa sebarang kenaikan pada RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Penyokong juga dibenarkan masuk stadium mulai pukul 4 petang," katanya.

Sementara itu, Salleh berkata, pihak polis akan mengkaji dari semasa ke semasa sama ada untuk menambah anggota keselamatan.

"Ketika perlawanan separuh akhir Piala FA (Pahang-Johor Darul Takzim 1 Jun lalu), sebanyak 1,700 orang ditempatkan," katanya. - Utusan Online
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger