Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mengenakan hukuman denda RM5,000 kepada 17 pemain Kuala Lumpur atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan.
Keputusan itu dibuat atas rayuan yang dikemukakan pemain kerana terpaksa terbabit dengan kegiatan tidak bermoral atas faktor keselamatan diri dan keluarga mereka selepas diancam bookie.
Ternyata sindiket mengatur perlawanan bola sepak yang dilabel bookie di negara ini semakin ganas. Selepas melakukan ugutan dengan ancaman bunuh, mereka kini semakin berani apabila bertindak memukul salah seorang daripada beberapa pemain dalam pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Menurut seorang sumber yang tidak mahu identitinya didedahkan, kejadian yang tidak diingini itu berlaku selepas pemain Liga M tersebut enggan memenuhi kehendak atau arahan bookie tersebut.
Demikian kisah bookie bola sepak di Malaysia.
Namun apa yang menarik, arena bola sepak bukan sahaja menjadi tempat para bookie bergelumang, tetapi bookie sudah berjinak mengatur keputusan pilihan raya pula.
Perkara ini diceritakan sendiri oleh anggota XXX kepada penulis tentang gelagat bookie yang mengaut keuntungan dengan membuat taruhan terhadap calon yang dijangka menang atau mahu dimenangkan.
Sumber memberi tahu, kegiatan 'bookie pilihan raya' dikesan aktif di tiga negeri iaitu di Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) yang lepas.
Difahamkan, jumlah taruhan bukan sedikit, malah melibatkan nilai ratusan juta.
Kini, para 'bookie pilihan raya' sudah mula berkampung di Kajang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di sana.
Mereka sudah mula mengatur dengan mengenal pasti calon dan agen-agen calon yang akan terlibat pada PRK nanti, jelas sumber.
Jika berita ini benar, sudah pasti peranan para bookie ini akan mempengaruhi keputusan PRK Dun Kajang.
Oleh itu, pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyiasat perkara ini. Perbuatan mengatur keputusan pilihan raya sepatutnya tidak berlaku demi memelihara kesucian proses demokrasi di Malaysia.
Jangalah sampai sindiket ini bermaharajalela. Rakyat yang akan tanggung derita.