Portal rasmi milik parti Pas, Harakahdaily.net terbukti hanyalah portal 'cap ayam' dan medium propaganda jahat Pas untuk menipu dan memanupulasi fikiran rakyat.
Terbaru, portal 'cap ayam' itu menyiarkan berita tidak benar dan fitnah terhadap seorang tokoh akademik negara, Prof. Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid kononnya beliau penulis catatan berkaitan 'kangkung' yang turut tersebar di laman Twitter dan Facebook.
Hari ini, Ungku Aziz tampil dalam satu kenyataan media menafikan sekeras-kerasnya dakwaan jahat kononnya beliaulah penulis catatan itu.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai zalim dan satu propaganda bagi memburukkan hubungan baiknya dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ungku Aziz berkata beliau tiada masa untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah itu.
"Itu adalah satu penipuan yang mana orang lain menggunakan nama dan gambar saya untuk kepentingan tertentu...saya tak ada (akaun) Twitter, tak keluarkan apa-apa puisi (catatan) seperti itu.
"Saya tak tahu siapa dan apa tujuan dia buat macam tu. Ini kerja propaganda bagi burukkan hubungan saya dengan perdana menteri, dan saya boleh katakan ia adalah zalim," katanya.
Mengulas lanjut, Ungku Aziz berkata, dakwaan yang mengatakan petikan itu adalah hasil tulisannya juga boleh dipertikai kerana selepas sekian lama terbabit dalam dunia penulisan, beliau lebih cenderung menulis pantun berbanding puisi.
Ditanya kemungkinan beliau akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyalahgunakan identitinya, tokoh akademik itu berkata, beliau tidak berhasrat berbuat demikian.
"Saya tidak berhajat mengambil tindakan lanjut. Saya harap dengan kenyataan ini dapat hentikan penyalahgunaan ini daripada terus berlaku.
"Kepada mereka yang suka membuat propaganda, saya nasihatkan supaya hentikan kerja yang mendatangkan dosa ini," katanya.