[TERKINI] RASMI: 3 PENYANDANG JAWATAN NAIB PRESIDEN UMNO KEKAL JAWATAN MASING-MASING

Sunday 20 October 20130 comments


Ketiga-tiga penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Ahmad Zahid dan Shafie dengan selesa melepasi garis majoriti mudah 96 undi manakala seorang lagi penyandang, Hishammuddin menghadapi saingan sengit daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mengikut keputusan tidak rasmi setakat jam 12 tengah malam ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memperoleh 173 undi, Shafie (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah) mendapat 160 undi manakala Hishammuddin (Menteri Pertahanan) menerima 95 undi, kurang satu undi daripada majoriti mudah.

Keputusan tidak rasmi 174 daripada 191 bahagian Umno sudah diumumkan setakat 12 tengah malam.

Ahmad Zahid sekali lagi mendapat tempat pertama menyamai pemilihan parti pada 2009 manakala Shafie naik daripada kedudukan ketiga dan Hishammuddin turun ke tangga ketiga. Ini adalah penggal kedua bagi tiga Naib Presiden itu.

Mukhriz gagal mendapat sokongan di Johor, dengan beliau hanya menerima undi daripada bahagian Tebrau dan Johor Bahru.

Beliau dilaporkan mendapat 397 undi dari Tebrau, mengatasi lima lagi calon, tetapi ini tidak mencukupi untuk memberi kemenangan kepadanya kerana 26 lagi bahagian Umno di Johor menyokong ketiga-tiga penyandang jawatan.

Dua lagi pencabar, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad gagal menarik perhatian perwakilan dan masing-masing hanya menerima tujuh dan lapan undi.

Keputusan tidak rasmi sehingga jam 12 tengah malam:

1. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - 173
2. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - 160
3. Datuk Seri Hishammuddin Hussein - 95
4. Datuk Mukhriz Mahathir - 83
5. Datuk Seri Mohd Ali Rustam - 7
6. Tan Sri Mohd Isa Samad - 8

Lebih 146,000 ahli akar umbi Umno membuat pemilihan barisan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) termasuk tiga jawatan Naib Presiden dalam mesyuarat perwakilan serentak di 191 bahagian di seluruh negara hari ini.

Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kedua-duanya telah dimenangi tanpa bertanding, masing-masing oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain memilih kepimpinan tertinggi Umno di peringkat pusat, perwakilan juga memilih barisan pimpinan di peringkat bahagian masing-masing.

Pada 12 Oktober lalu, pemilihan secara serentak juga diadakan bagi sayap-sayap meliputi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, juga di semua 191 bahagian.

Bagi jawatan pusat, pemilihan kali ini diadakan mengikut kaedah "electoral college", yang mana calon yang mendapat undi tertinggi di satu-satu bahagian dikira pemenang di bahagian terbabit dan mendapat satu undi.

Umno menganggap sistem baru ini sebagai usaha untuk mendemokrasikan parti dan membanteras politik wang.

Sebelum ini, pemilihan Umno bagi peringkat pusat hanya membabitkan sekitar 2,500 orang dan diadakan bersempena perhimpunan agung parti di ibu negara.



Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger