[TERKINI] NOTA BUAT PARA ULAMA YANG INGIN BERJUANG BERSAMA UMNO!

Sunday 6 October 20130 comments


MENJELANG pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO yang bakal berlangsung dalam beberapa hari lagi, ada kempen untuk membawa masuk kumpulan berpendidikan agama untuk menyeimbangkan kedudukan profesional bagi memantapkan perjuangan dan pembentukan dasar parti.

Malah, wacana penubuhan Majlis Ulama yang setaraf dengan kedudukan Naib Presiden kebelakangan ini semakin hangat disuarakan oleh ahli parti bagi menonjolkan kedudukan ulama adalah penting dalam parti. Ini termasuklah meluruskan persepsi yang mengatakan UMNO meminggirkan peranan ulama dalam menentukan hala tuju dan dasar parti.


Menyoroti kemunculan kepimpinan ulama dalam UMNO, hanya bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad merupakan tokoh yang paling lama diterima berbanding dengan tokoh berpendidikan agama lain. Sejarah itu memberikan gambaran, selepas diberikan peluang, kenapakah hayat politik ulama yang ada dalam UMNO tidak panjang.

Gambaran ini memberikan tafsiran bahawa golongan yang berpendidikan agama tidak merupakan pemimpin yang berkesan, kerana sifatnya terlalu mengharapkan kesempurnaan sedangkan kaedah meraih kesempurnaan tidak dapat diterjemahkan dengan baik dan berkesan.

Golongan ulama yang cekap dalam memperkatakan isu, hebat memberikan pandangan dan kritikan sebenarnya tidak bersifat praktikal dalam tindakan, tidak berjaya menterjemahkan ilmunya untuk menyelesaikan masalah kehidupan.


Kemunculan ulama muda dalam UMNO misalnya pernah dilihat sebagai perkembangan positif tetapi sebaliknya apabila mereka mempunyai kedudukan dalam parti, suara mereka sudah tidak lagi membuktikan kesungguhan untuk memantapkan perjuangan parti.

Suara-suara melakukan perubahan sebelum terpilih memegang kuasa tidak lagi kedengaran dan diterjemahkan secara berkesan. Ulama seperti ini kemudiannya dipanggil sebagai ulama politik, kerana tindakannya tidak lagi konsisten dengan apa yang diperjuangkan termasuk mencari kekayaan peribadi dan menunjukkan kemewahan, mempamerkan sikap riak dan sukar menerima pandangan orang lain.

Situasi seperti ini sentiasa berulang-ulang sehingga ada sebahagian rakyat mulai muak dengan sikap pemimpin agama yang berada dalam UMNO, semakin lama berkuasa semakin kehilangan jiwa agamanya. Jiwa agama bukan bermaksud sentiasa mencari peluang untuk menjadi imam berjemaah ataupun membaca khutbah apabila pemimpin utama hadir sama.

Jiwa agama sejati ialah menegakkan prinsip yang jelas, tidak mudah lentur dengan perubahan mencari kerjasama dengan bukan Islam yang tidak menghormati Islam.


Misalnya, ketika UMNO bergema dengan proses peremajaan dengan mendekatkan diri meraih sokongan golongan muda, para ulama masih belum dapat merumuskan strategi dan pendekatan yang boleh diterima oleh kumpulan yang semakin ramai dan berpengaruh. Sebaliknya, pemimpin profesional dapat menterjemahkan keperluan golongan muda dalam konteks kehendak asasi mereka, sedangkan pemimpin agama masih dengan pendekatan ‘menghukum’ dan retorik.

Golongan ulama tidak banyak memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk berhubung dengan golongan muda, masih gemar mengadakan aktiviti ceramah dan forum yang tidak diminati oleh mereka. Apabila parti dicemuh, pemimpin ulama seharusnya bangkit untuk memperbetulkan persepsi menerusi pendekatan yang mudah diterima dan tidak terlalu bergantung kepada aktiviti berbentuk ceremonial atau large volume error.

Pemimpin ulama seharusnya mampu mendengar suara-suara mereka, yang mana proses itu boleh membawa kepada peningkatan keyakinan dengan memberikan ruang dan peluang dengan lebih meluas, bukannya memaksa golongan muda mendengarnya.

Golongan agama dalam parti tidak seharusnya mengehadkan pengetahuan mereka, sebaliknya wajib memahami ilmu-ilmu bantu yang lain, termasuk psikologi dan pengetahuan profesional yang memungkinkan peningkatan minat golongan muda untuk menyokong parti.

Kalau pemimpin agama dapat menterjemahkan ilmunya menjadi sesuatu yang praktikal, memahami keperluan psikologi, ia akan membolehkan golongan muda mempercayai bahawa kepimpinan sedemikian itulah yang boleh diharapkan untuk membangunkan parti dan kemaslahatan ummah.

Pemimpin agama tidak mudah terpengaruh dengan keperluan meletakkan kepentingan diri di tempat teratas. Misalnya mengenai penularan fahaman Syiah, belum lahir golongan ulama dalam UMNO yang berani memulihkan pengikutnya untuk kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Atas sebab itulah ulama dilihat gagal memugarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada ancaman Syiah, walhal fahaman itu mempunyai kedudukan yang jelas bertentangan dari segi akidah dan undang-undang.

Belum muncul seorang pemimpin ulama dalam UMNO yang berani berdepan secara intelektual dengan kelompok Syiah. Paling ramai ialah golongan ulama yang hanya cekap membuat selaran dan mendedahkan pelanggaran akidah golongan tersebut secara ‘jarak jauh’ ataupun menerusi media, sedangkan apa yang lebih diperlukan adalah turun padang mencari dan memulihkan mereka.

Ketidaksanggupan itulah menyebabkan segelintir pemimpin ulama hanya berani bercakap secara lantang dalam forum, yang mana khalayaknya adalah kumpulan least resistance dan bukannya khalayak sasaran sebenar.


Itulah sebenarnya transformasi politik yang wajib dilaksanakan oleh kelompok ulama dalam UMNO jika mahukan Islam terus mantap dan sukar digugat. Transformasi pendekatan politik hendaklah disusuli dengan kemantapan psikologi bila berhadapan dengan kumpulan berkenaan, bukannya sekadar riuh rendah secara bermusim.

UMNO perlu menjejaki semula sejarah penubuhannya dan belajar daripada pengalaman bagaimana Biro Agamanya berpecah, membentuk sebuah kumpulan siasah yang akhirnya menjadi lawan politiknya. Tentunya, setelah berpecah kaedah persaingan menjadi lebih sengit dan sesekali kedengaran tindakan yang amat memualkan sehingga kedudukan Islam semakin tercabar.

Transformasi perlu bermula daripada diri sendiri sebagaimana perintah Nabi Muhammad yang bersabda “ibda’ binafsik" (mula dari dirimu sendiri). Dalam konteks dan situasi yang sebeginilah ulama dalam parti perlu berperanan sebagai pencerah dan pendidik kepada semua elemen dalam parti agar selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Ketokohan seorang ulama juga boleh dilihat sejauh mana ia dapat bertahan dengan godaan dan dugaan politik yang menawarkan kekayaan dan keselesaan hidup dengan cara yang cepat. Ulama akan dipandang tinggi dan tabik hormat sekiranya ulama tersebut mempamerkan dirinya sebagai sosok yang sederhana, zuhud dan berjuang secara istiqamah mempertahankan Islam sebagai teras parti dan negara.

Demikian Nabi bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidaklah seorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak berhasad dengki kepada orang yang lebih daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya dan tidak mencari upahan kebendaan dengan ilmunya."

Antara lain tugas yang harus dilaksanakan oleh ulama dalam kedudukan mereka sebagai pewaris Nabi iaitu memberi contoh sosialisasi dan teladan. Justeru Nabi SAW dicipta Allah sebagai teladan (lihat surah al-Ahzab ayat 21) atau sebagaimana keterangan isteri baginda Aisyah r.a., sikap dan tingkah laku Rasulullah adalah al-Quran. Dari hakikat ini pewaris Nabi dituntut bukan sekadar menampilkan satu peribadi yang baik tetapi yang terbaik.

Orang yang paling alim dalam kalangan manusia harus mengatur segala urusan umatnya kerana ia akan bertindak berdasarkan maslahat terbaik bagi seluruh umat dan keluar daripada kejahilan yang akan menyebabkan mudarat yang lebih luas bagi setiap anggota masyarakat.

Pada masa sama, ulama yang dibariskan dalam parti dan kepimpinan negara perlu mempunyai pemikiran yang progresif, tidak jumud, menyokong kebebasan intelektual dan tidak terkongkong dengan doktrin agama tertentu. Ulama yang mempunyai wawasan yang luas akan memberikan pencerahan dan kefahaman yang bernas kepada umat Islam.



Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger