PENULIS sangat teruja dan amat berterima kasih kepada Professor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee di atas tulisan beliau dalam ruangan rencana Utusan Malaysia 16 Ogos 2013 yang lalu. Ternyata bahawa ulasan beliau cukup benar, tepat dan sewajarnya di renung sedalam-dalamnya oleh bukan sahaja orang Cina Malaysia bahkan oleh orang Melayu yang suci lagi lembut hatinya.
Adalah diharapakan agar ulasan tersebut bukan sahaja dapat membuka mata, bahkan menyedarkan mereka terutamanya golongan ultra kiasu Cina betapa murninya hati bangsaku yang bernama Melayu. Banyak insiden atau peristiwa di mana bukan sahaja Melayu dihina bahkan agama suci mereka dicerca dan diperlekehkan. Namun Melayu hanya mampu buat bantahan melalui media dan laporan polis. Laporan polis tidak mampu menghentikan tindakan mereka. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu terus dihina lagi.
Pernahkah kita mendengar, terbaca atau melihat orang Melayu menghina agama-agama lain melalui perilaku yang biadap, kurang sopan atau sebagainya? Melayu cukup hormat akan pegangan atau kepercayaan orang lain.
Persoalannya adakah Melayu hanya mahu dan mampu berdiam diri sahaja sekiranya perbuatan-perbuatan biadap terus berlaku dan berleluasa sehingga sampai ke tahap 'cacing cucuk ke mata' atau 'si kaduk naik ke junjung'?
Selain Melayu dan agama Islam dihina, juga hak istimewa Melayu dipersoalkan. Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa tersebut atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Malah siapa yang lebih hebat hari ini, Melayu yang bergelar tuan atau Cina yang bergelar hamba?
Fakta sejarah jelas membuktikan bahawa Malaysia sebelum ini dikenali dengan Tanah Melayu. Setelah dijajah oleh kuasa asing khususnya British melalui dasar pecah dan perintah serta dasar ekonomi British, Melayu dipinggir dan terpinggir daripada arus kemajuan terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Kaum asing dibelai dan dibantu manakala Melayu dibiarkan seperti pepatah kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kehausan.
Sekian lama hak Melayu lebih kurang 446 tahun bukan sahaja dinafikan bahkan dirampas. Salahkah sekiranya hak tersebut dikembalikan secara berperingkat tanpa sedikit pun merampas milik orang lain?
Jangan kerana termakan hasutan pihak yang sememangnya cemburu akan kestabilan dan keharmonian serta kesejahteraan negara melalui kesepakatan dan permufakatan mereka, habis air setempayan dicurahkan akibat mendengar guruh di langit dan akhirnya kita sama-sama yang rugi.
Melalui kesempatan ini, saya menyeru agar bangsaku yang bernama Melayu supaya sedar dan insaf. Bersatulah demi maruah dan kesinambungan kuasa Melayu. Walaupun kita mungkin berbeza tetapi perlu dalam perbezaan cari persamaan seperti kata perpatah, biduk berlalu kiambang bertaut semula dan terus berusaha gigih. Apabila belayar sampai ke pulau, berjalan sampai ke batu.