GOLONGAN muda kini dilihat semakin menjarakkan diri dari menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan pandangan mereka ini telah dizahirkan ketika pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Namun timbul persoalan apakah golongan muda ini benar-benar membenci UMNO dan BN atau mereka semata-mata terpengaruh dengan dakyah yang dimainkan pembangkang?
Apakah kemajuan dalam teknologi maklumat seperti internet dan sistem pendidikan turut menjadi penyumbang kepada faktor ini?
Oleh itu, pemilihan UMNO pada kali ini menjadi medan kayu ukur sejauh mana kebijaksanaan ahli pemuda UMNO menentukan soal siapa bakal menerajui kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) untuk penggal yang baru.
Bagi jawatan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin telah menawarkan diri mempertahankan jawatan itu. Khairy dilihat berada dalam kedudukan selesa bagi mempertahankan jawatan Ketua Pemuda berikutan belum ada lagi calon lain menawarkan diri.
Namun, jawatan Naib Ketua Pemuda akan menjadi tumpuan berikutan ramai nama-nama besar bakal merebut jawatan itu bagi menggantikan Dato' Razali Ibrahim yang sudah habis usia pemudanya. Antara yang menawarkan diri adalah Jamawi Jaafar dan Lokman Adam yang kini merupakan exco PPUM.
Jawatan exco turut menjadi perhatian apabila 170 individu dikhabarkan akan berebut untuk mengisi 20 kekosongan bagi jawatan itu. Saudara Jeffrizal Jaafar dan Armand Azha dari Selangor antara yang menawarkan diri bertanding.
Maka, calon-calon yang terpilih sudah pasti menjadi penggerak dan pemikir untuk mengembalikan sokongan orang muda terhadap UMNO dan BN.
Justeru itu, kriteria-kriteria tertentu menjadi pertimbangan para perwakilan untuk memilih siapa bakal membarisi kepimpinan PPUM akan datang.
Pilihlah mereka yang mampu memenuhi inspirasi dan aspirasi golongan muda dan berupaya menarik kepercayaan mereka. Rata-rata yang bertanding punya rekod-rekod lampau yang baik dan tidak baik. Mudah, jangan pilih calon-calon yang punya rekod tidak baik.