DENGAN usia yang sudah melangkau 67 tahun, Umno kini dilihat sudah terlalu tua untuk terus kekal relevan dipersada politik tanah air.
Dalam keadaan yang sebegini, pastinya satu pembaharuan perlu dilakukan dalam usaha untuk meremajakan semula parti politik terbesar Melayu dan Bumiputera itu.
Perubahan ini tidak dapat dielakkan apatah lagi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu memperlihatkan Umno sebagai tunjang parti dalam Barisan Nasional (BN) gagal memikul tugas untuk memikat hati 42 peratus pengundi muda.
Dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan, tumpuan kini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Jika dilihat pada usia mereka, selain Hishammuddin yang baru berusia 52 tahun, Ahmad Zahid, 60 tahun dan Shafie, 55 tahun boleh dikatakan mereka sudah terlalu jauh daripada generasi muda kini.
Dua orang yang sudah menawarkan diri untuk bertanding, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, 63 tahun dan Tan Sri Isa Samad, 65 tahun juga dillihat tidak mampu untuk menarik hati dan minda generasi muda.
Nama Umur Pada Tahun
2013 2018 2020
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 60 65 67
Datuk Seri Hishammuddin Hussien 52 57 59
Datuk Seri Shafie Apdal 56 61 63
Datuk Seri Ali Rustam 64 69 71
Tan Sri Isa Abdul Samad 64 69 71
Walaupun angka bukan melambangkan sesuatu kematangan dalam kepimpinan, peranan mereka yang lebih muda dalam politik dikatakan sangat penting dalam usaha menarik pengundi yang terdiri daripada belia.
Justeru itu, pencalonan empat orang pemimpin muda daripada sayap Pemuda Umno untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti Oktober ini diharap mampu memberi sumbangan berguna khususnya dalam membawa hasrat orang muda.
Mereka terdiri daripada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno; Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan dan Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz.
Pencalonan mereka ini telah membuka satu lembaran baru kepada pemimpin muda untuk membawa suara orang muda dengan lebih berkesan sekaligus sebagai generasi pelapis untuk memimpin Umno dimasa akan datang.
Kini seorang lagi pemimpin muda, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden mencabar lima calon lain yang jauh lebih senior.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dalam kenyataannya telah menasihati parti Melayu itu agar melantik pemimpin muda kerana ia sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".
"Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata Dr Mahathir.
Menurut beliau, hanya dengan kepimpinan orang muda, Umno akan dapat meneruskan legasi mereka untuk terus memerintah negara ini.
"Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu," katanya dipetik dari akhbar berbahasa Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun, tindakan Dr Mahathir itu telah disalahtafsir oleh sesetengah pihak dan menuduh beliau mempunyai agenda untuk meneruskan legasi beliau.
"Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.
"Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri," kata bekas Presiden Umno itu lagi.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula menyatakan Umno bukan sahaja memerlukan pemimpin berpengalaman tetapi juga pemimpin generasi muda untuk menggerakkan parti, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy menegaskan, selain generasi pemimpin muda, pengalaman pemimpin lama amat diperlukan untuk peremajaan parti itu.
"Peremajaan parti sentiasa berlaku dan perlu buat dengan lebih gigih lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan TSM Golf Challenge di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.
"Umno sentiasa memerlukan peralihan generasi dan kemunculan pengundi muda. Kita perlu gabungan pemimpin muda dengan pemimpin berpengalaman," kata Menteri Belia dan Sukan itu lagi.