[TERKINI] 146,500 PERWAKILAN BAKAL PILIH PUCUK PIMPINAN UMNO BAHARU

Friday, 17 May 20130 comments


Sebanyak 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara akan memilih pucuk pimpinan UMNO yang baharu akhir tahun ini, pertama kali selepas pindaan Perlembagaan dilakukan parti tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebelum ini pucuk pimpinan parti ditentukan oleh 2,500 perwakilan.

Katanya, pemilihan kali ini akan menjadi lebih demokratik apabila pemilihan pemimpin tidak terletak di tangan hanya sekumpulan perwakilan.

"Lantai demokrasi UMNO akan terbuka dengan lebih meluas apabila tiada lagi fasal dalam Perlembagaan yang selama ini tidak memihak dan tidak memberikan akses kepada golongan tertentu untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan parti.

"Dahulu kita hanya memperuntukkan 2,500 perwakilan untuk menentukan pucuk kepimpinan parti, namun kali ini ia ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 2009 meluluskan pindaan Perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan UMNO selain menghapuskan sistem kuota, mengadakan persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.

Pindaan Perlembagaan juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baharu dan mengiktiraf sumbangan Setiausaha Bahagian.

Menurut Ahmad, pindaan tersebut adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan UMNO lebih demokratik, telus dan inklusif, namun, kaedah pemilihan serta pengundian, masih dalam proses penambahbaikan.

"Kita merasakan mengembalikan proses pemilihan kepemimpinan di peringkat bahagian adalah lebih rasional dan mampu dilaksanakan secara tersusun.

"Kita akan memulakan setapak demi setapak dan melihat sejauh mana ia mendatangkan impak dan kesan kepada wajah pemilihan UMNO yang lebih terbuka," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai mesyuarat dan pemilihan di peringkat cawangan yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, Ahmad berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar dalam apa yang terjadi semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, UMNO tidak mahu berlakunya sebarang perpecahan di peringkat cawangan, sehubungan itu pemilihan dan mesyuarat perlu dibuat secara sederhana tanpa melibatkan persaingan yang tidak sihat.

"Seboleh-bolehnya elakkan daripada berlakunya pertandingan tidak sihat, ambil pendekatan untuk berbincang dengan elok dan berkompromi dengan ahli masing-masing bagi menentukan siapa yang layak mengisi jawatan yang ada.

"Kita tidak mahu lagi berlakunya perpecahan dalam kalangan ahli UMNO, apa yang penting adalah parti kembali memenangi hati rakyat sekali gus dapat menguatkan jentera bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang," katanya.

Beliau juga optimis pemilihan UMNO akan berjalan lancar dan tidak berlaku kekecohan seperti apa yang melanda parti-parti pakatan pembangkang.
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger