SAYA BERJIHAD SELAMATKAN MALAYSIA - BEKAS HAKIM

Friday 17 May 20130 comments


Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, beliau berjihad untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terjerumus dalam kancah pergaduhan sesama masyarakat.

Beliau berkata, persepsi orang ramai apabila menggunakan istilah jihad ialah berperang, bagaimanapun, transformasi daripada yang buruk kepada yang baik juga merupakan satu jihad.

"Saya sayangkan anak bangsa saya, anak cucu, keturunan saya dan semua rakyat Malaysia, kita lihat negara kita aman, tidak ada bencana alam, yang saya takut ialah bencana buatan sendiri sesama kita.

"Jadi, saya berjihad untuk selamatkan rakyat Malaysia daripada terjerumus ke dalam kancah pergaduhan sesama kita, itu yang saya maksudkan jihad," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan BernamaTV di saluran 502 Astro.

Rancangan satu jam yang mengupas tajuk Memperkasakan Perlembagaan itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd. Noor dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berbaur perkauman ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lepas pada satu forum bertajuk Wacana Post-Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Beliau berkata, Perlembagaan menetapkan beberapa kaedah untuk orang Malaysia bersatu-padu, hidup rukun damai dan selamat sejahtera.

"Kita satu bangsa Malaysia, satu negara, satu bahasa, berbilang agama, beraneka budaya, masing-masing mestilah merasa lega oleh kerana Perlembagaan peruntukkan kaedah-kaedah untuk semua.

"Malangnya, orang politiklah memecah-belahkan masyarakat Malaysia ini kepada orang Melayu, orang Cina, orang India dan lain-lain padahal dalam Perlembagaan tidak ada sepatah pun perkataan Cina, India oleh kerana semasa merdeka dulu mereka yang datang ke negara ini telah diterima sebagai tetamu dan sebagai warganegara.

"Ketika itu, mereka telah beri sumpah taat setia dan menjunjung duli kepada raja dan di saat itu mereka tidak digelar sebagai orang Cina, orang India, mereka adalah orang Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sekiranya ahli politik duduk bersama di dalam satu saf, ia adalah lebih baik daripada mereka bertelingkah sesama mereka.

Mengenai penyusunan semula masyarakat, Mohd. Noor berkata, masyarakat di bandar dan luar bandar perlu disusun semula supaya masyarakat di luar bandar dapat menikmati apa yang ada di bandar.

"Orang Melayu harus berhijrah di bandar dan tanah-tanah rizab Melayu di pinggir bandar dimajukan untuk orang Melayu tinggal dan berniaga di sana, tetapi be fair (berlaku adil), 30 peratus umpamanya boleh dikhaskan untuk bukan Bumiputera memiliki rumah dan perniagaan di situ," katanya.

"Seeloknya juga wujudkan settlement (penempatan) untuk orang awam bersebelahan dengan tanah rizab Melayu supaya dapat berjiran, di dalam pemilikan oleh bukan bumiputera pula sediakan pula 30 peratus untuk orang Melayu, di dalam keadaan bertolak ansur bukan ke cantik kita berjiran," katanya.

Sementara itu, Zainul berkata, kaedah tersebut boleh dicuba untuk memperbaiki sistem di bandar di mana polarisasi kaumnya berbeza berbanding di luar bandar dan ia juga mungkin dilihat dapat menjadikan masyarakat Melayu dan bukan Melayu seiring sama ada di bandar mahupun di luar bandar. - BERNAMA
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger