Sebab itu mereka terburu-buru mengeluarkan manifesto lebih awal berbanding BN supaya punya asas untuk memburuk-burukkan manifesto BN.
Sedangkan, umum mengetahui bahawa manifesto kedua-dua pihak sudah pasti akan memberi tumpuan terhadap kepentingan rakyat.
1) Tawaran Aku Janji BN adalah berdasarkan isu kepentingan rakyat. Persoalannya, siapa kata isu-isu rakyat ini adalah hak eksklusif, hak milik terpelihara dan hak cipta Pakatan Rakyat? BN menjalankan kajian terperinci terutama sepanjang Jelajah Janji Ditepati untuk mendasari isu-isu rakyat. Tidak semena-mena, apabila Aku Janji BN mengutarakan isu yang hampir serupa, dituduh plagiat.
Fundamental demokrasi pilihanraya adalah memperjuangkan isu rakyat. Tiada istilah plagiarisme dalam perjuangan mendahulukan rakyat.
2) Kita akui ada beberapa isu yang serupa terkandung dalam dokumen ini. Namun, untuk dituduh plagiat adalah tidak berasas kerana isu kepentingan rakyat ada yang serupa tetapi mekanisme serta kapisiti pelaksanaan tentunya tidak sama. Malahan, jika diamati dan dibuat perbandingan, Aku Janji BN lebih berfokus terhadap kemampuan untuk melaksanakan apa-apa yang dijanjikan.
Method mekanisme dan kapasiti yang nyata berbeza ini, di mana relevannya PR menuduh satu penciplakan?
3) Aku Janji BN ditelaah dan diteliti oleh sekelompok pemikir pakar mengikut pengkhususan skop. Disebabkan itu, dalam setiap skop yakni 17 komitmen induk disertakan tawaran janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun mendatang. Turut disertakan adalah 'status quo' dan mekanisme sedia ada yang membolehkan unjuran janji-janji tersebut ditawarkan.
Berbeza dengan PR, dokumen mereka hanya melambakkan 'janji-janji' tanpa menyatakan unjuran semasa membolehkan tawaran tersebut dicadangkan. Malahan, kebanyakan mekanisme adalah tidak jelas seperti melaksanakan pendidikan percuma kerana ada peruntukan RM80billion untuk Projek MRT?
‘Status quo’, kapasiti dan mekanisme yang dijelaskan dalam Aku Janji BN semestinya menjauhkan jurang keyakinan rakyat kepada dokumen Manifesto PR. Di sini, apakah yang ditiru oleh Aku Janji BN? Sebaliknya, PR yang 'tiru', ambil bajet projek BN untuk dijadikan modal melaksana 'janji khayalan' mereka.
4) Awal-awal lagi YAB Pengerusi BN sudah memaklumkan bahawa BN hanya akan memaklumkan tawaran janji PRU-13 BN selepas Dewan Rakyat dibubar. Logiknya, apakah asasnya apabila ada pihak lebih awal mengumumkan janji mereka kepada khalayak boleh menuduh satu pihak yang memilih masa sesuai dan tepat untuk mengutarakan janji mereka sebagai telah menciplak, meniru dan memplagiat mereka?
5) Tentang isu turun harga kereta, BN komited ini boleh dilaksana kerana kejayaan rundingan di peringkat AFTA dan FTA. Hakikatnya, harga kereta sudah mulai turun 3%-5% sejak awal 2012. Duti import kereta dari Jepun dan Australia diturunkan dari 15% dan 13.6% sehingga 0% pada tahun 2016.
Malahan, harga kereta RM25,000 sebaimana yang dijanjikan PR, sebenarnya sudah ada dalam pasaran. Rakyat boleh mendapatkan Perodua Viva pada harga tersebut. Andai digunakan method PR, penghapusan cukai eksais dan lelongan AP lebih membawa mudarat kepada ekonomi.
6) Seperkara lagi, Aku Janji BN menawarkan komitmen menyemak Dasar Automatif Nasional untuk menurunkan harga kereta dan meningkatkan daya saing kereta nasional. Aspek peningkatan daya saing kereta nasional langsung tidak dinyatakan dalam dokumen Manifesto PR.
Kerajaan BN insaf terhadap bebanan hutang ditanggung rakyat jika harga kereta tinggi, namun dalam masa yang sama, kita wajar mempertimbangkan survival kereta nasional. Pemfokusan serampang dua mata ini tidak pun dibuat PR, apakah kewajaran dituduhnya BN meniru?
7) Isu Rumah Mampu Milik- BN janjikan sebanyak 1 juta Rumah Mampu Milik boleh dibina atas kerjasama sektor awam dan swasta serta PR1MA. Malah memastikan harga PR1MA 20% murah dari harga pasaran. Ini boleh dicapai kerana pelaksanaan PR1MA sudah pun bermula. PR sekadar menjanjikan 150,000 buah rumah sahaja tanpa penghuraian lanjut berkenaan mekanismenya.
8) Laporan Audit Negara merekodkan tiada Rumah Mampu Milik dibina di Kedah, kondomium mewah mencecah RM700ribu banyak dibina di P.Pinang dan isu kondomium mewah yg dikatakan bakal mengutamakan warga luar di Datum Jelatek, Selangor. Jika itu 'track record'nya, secara jujur, Aku Janji BN lebih meyakinkan dan tiada unsur penciplakan.
Analoginya, nasi adalah makanan ruji rakyat Malaysia. Restoran PR lebih awal memperkenal menu ‘Nasi Rakyat’ dan Restoran BN turut memperkenal menu ‘Nasi Impian Rakyat’. Dalam konteks ini, wajarkah dituduh ada peniruan mahupun plagiarisme? Kerana rujinya memang serupa, membezakan adalah kemahiran memasak dan kepelbagaian perisa dan resipinya berjaya diadun sebati.
Mudahnya, pimpinan PR sudah kekeringan modal dan berada dalam situasi panik kerana ramai pihak mengangkat dokumen Aku Janji, Manifesto BN PRU-13 sebagai holistik dan realistik terutama dalam mendahulukan rakyat.
Benar, kita tidak mengangkat roh reformasi sebaliknya BN tekad menjunjung jiwa transformasi demi rakyat 1Malaysia. Saf BN percaya harapan rakyat bukan suatu mimpi tetapi jalan menjadikan impian suatu realiti.