Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, jika manifesto pakatan haram dilaksanakan, hutang kerajaan akan meningkat sehingga 62.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding dengan 54.6 peratus sekarang ini.
Lebih parah lagi, kerajaan akan mengalami defisit akaun semasa.
Ini bermakna kerajaan perlu meminjam untuk membayar gaji, subsidi, pencen dan hutang negara seterusnya menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah.
Barangkali ramai rakyat tidak sedar perkara ini, namun bagi mereka yang punya pengetahuan ekonomi, manifesto pakatan haram jelas merugikan negara dalam jangka masa panjang.
Untuk pengetahuan, kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lepas.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan terus komited untuk terus mengurangkan defisit kepada empat peratus tahun ini dan sekitar tiga peratus pada tahun 2015.
Kerajaan hari ini hanya meminjam untuk menampung perbelanjaan pembangunan sahaja kerana kesan pengganda kepada ekonomi akan memberi jaminan kepada kemakmuran dan seterusnya kesejahteraan rakyat.
Jika kerajaan meminjam untuk membayar gaji dan sebagainya dalam perbelanjaan mengurus, ia telah melanggar falsafah yang selama ini dilaksanakan oleh kerajaan BN. Ternyata tindakan itu berjaya hingga mendapat pujian antarabangsa kerana pengurusan kewangan negara yang cekap.
Jadi berdasarkan manifesto pakatan haram, maknanya hasil kerajaan tidak dapat menampung perbelanjaan mengurus yang bertentangan sama sekali dengan konsep perbelanjaan berhemah.