Tersenarainya beliau bagi kerusi DUN itu dikatakan antara strategi PKR untuk memenangi semula kerusi itu setelah penyandangnya daripada parti itu melompat parti menyokong Barisan Nasional (BN) pada 2009 dan kemudian menyertai BN pada 2010.
Kalangan pemimpin dan anggota PKR Pelabuhan Klang bagaimanapun berharap seorang tokoh tempatan akan diletak sebagai calon PKR untuk bertanding kerusi itu dan bukan Abdul Khalid.
Sumber-sumber yang dihubungi Bernama tidak menolak kemungkinan Abdul Khalid akan kekal mempertahankan kerusi DUN Ijok, yang dimenangi pada PRU12 2008 dan pilihan masih terbuka kepada beliau untuk memilih satu daripada kerusi DUN itu.
Setidak-tidaknya perkembangan ini memberi petanda bahawa Abdul Khalid mungkin kekal sebagai Menteri Besar Selangor jika pakatan pembangkang masih dapat menguasai Selangor pada PRU13.
Seorang anggota Exco Angkatan Muda Keadilan, Irwan Ismail memberitahu pemberita di sini pada Rabu bahawa Abdul Khalid adalah antara empat nama dalam senarai pendek calon PKR untuk DUN Pelabuhan Klang.
Nama Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin, yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding bagi kerusi itu tiada dalam senarai pendek itu, katanya.
Irwan berkata, pemilihan calon yang tepat untuk DUN Pelabuhan Klang penting kerana ia adalah kawasan panas bagi PKR setelah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar PKR pada 2009.
Badrul Hisham memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada pilihan PRU12 2008 dengan majoriti 4,407 undi, mengalahkan seorang calon BN dan seorang calon bebas tetapi meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun bebas yang menyokong BN.
Beliau kemudian menyertai Umno pada Mei 2010.
Irwan berkata, jika PKR meletakkan calon yang tidak sesuai bagi DUN Pelabuhan Klang, banyak masalah boleh berlaku terutamanya usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap PKR.
Beliau berharap pucuk pimpinan PKR akan memilih penyelaras DUN Pelabuhan Klang Suhaimi Mohd Nor, yang turut disenarai pendek, untuk bertanding bagi kerusi DUN itu.
Irwan berkata, Suhaimi telah bekerja untuk parti memikul beban yang ditinggalkan Badrul Hisham sejak 2009 sehingga hari ini dan diterima oleh para penyokong akar umbi.
Ditanya mengenai peluang Abdul Khalid memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang, beliau berkata, Menteri Besar Selangor itu kemungkinan besar boleh diterima rakyat kawasan itu tetapi beliau perlu bekerja kuat untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PKR.
Abdul Khalid memenangi kerusi DUN Ijok pada PRU12 2008 mengalahkan calon BN Mohamed Sayuti Said dengan majoriti 1,920 undi.
Irwan berkata, pemimpin dan anggota PKR Pelabuhan Klang turut kecewa kerana cadangan mereka agar Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak mendapat reaksi positif daripada pucuk pimpinan parti itu