Timbalan Pengarah Jentera BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata manifesto tersebut akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengarah Jentera BN dan juga Pengerusi BN Selangor.
"Secara terperincinya insyaallah kita akan lancarkan minggu hadapan.
"Secara umumnya manifesto ini untuk menjadikan negeri Selangor sebagai negeri utama bersama kerajaan Persekutuan dalam program transformasi ekonomi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perjumpaan JKKKP Selangor Bersama Kepimpinan Tertinggi Persekutuan Negeri Selangor di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini hari ini.
Bagaimanapun, ketika berucap dihadapan kira-kira 5,000 tetamu sebelum itu, Mohd Zin membayangkan manifesto tersebut mempunyai tujuh teras initipati dan 56 janji.
Antara yang bakal diberi perhatian adalah penyediaan rumah mampu milik, bantuan skim rakyat, pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan status ekonomi negeri.
Dalam pada itu, ditanya adakah manifesto tersebut bakal menyelesaikan isu air yang membelenggu rakyat selama ini, Mohd Zin berkata, perkara tersebut tidak memerlukan manifesto.
Menurutnya, Perdana Menteri memberi jaminan akan membantu menyelesaikan masalah air namun proses tersebut akan menjadi lebih mudah sekiranya BN kembali memerintah Selangor.
"Isu air tidak perlu tunggu manifesto. Dalam siri lawatan sebelum Perdana Menteri sudah kata walau apa pun kita akan selesaikan.
"Ia lebih mudah jika kita dapat kembali pemerintahan kerajaan," katanya.