[TERKINI] : KERAJAAN AKAN TUBUHKAN SURUHANJAYA KHAS SIASAT KES LAHAD DATU!!!

Monday 25 March 20130 comments


Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya khas atau membuka kertas putih untuk menyiasat dan mendedahkan dalang pencerobohan di Lahad Datu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia akan menjadi platform untuk mendedahkan siapa individu atau pihak ketiga di luar negara yang terbabit dengan insiden berkenaan.

“Ia boleh membawa kepada cerita sebenar yang berlaku di Lahad Datu. Bagaimanapun, keputusan untuk menjalankan siasatan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan.

“Jelas sekali, banyak siasatan yang perlu dijalankan kerana ia isu yang amat rumit dan turut mendedahkan mereka yang selama ini menyebarkan maklumat tidak benar melalui SMS dan internet,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN Gombak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), semalam.

Hishammuddin juga berharap orang ramai dapat belajar daripada pengalaman di Lahad Datu supaya tidak bertindak mengikut emosi kerana siasatan mendapati 98 peratus khabar angin disebarkan adalah tidak benar.

“Selepas siasatan selesai, keputusan akan didedahkan kepada orang ramai, saya ingin ingatkan supaya masyarakat tidak membiarkan mereka yang tidak bertanggungjawab menguasai keadaan sehingga menimbulkan ketakutan.

“Kita perlu rasional mentafsir kebenaran dan lihat pihak mana yang cuba mengeksploitasi insiden pencerobohan itu,” katanya.
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger