[TERKINI] : BUDAK DITEMBAK ADA HUBUNGAN DENGAN PENGGANAS!!!

Thursday 14 March 20130 comments


LAHAD DATU - Polis mengesahkan budak lelaki berusia 13 tahun yang mati tertembak dan bapanya cedera ketika operasi mencari dan menggeledah di kawasan belukar di Kampung Sungai Bilis beberapa hari lalu, mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu.

Bapa budak berkenaan yang berusia 35 tahun itu masih dirawat di Hospital Lahad Datu dan akan ditahan selepas dibenarkan keluar wad, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Mereka ditembak ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa beberapa orang yang disyaki ada kaitan dengan pengganas apabila terlihat pergerakan di kawasan berhampiran.

Selepas memeriksa kawasan itu, pasukan keselamatan menemui lelaki berkenaan yang cedera dan budak yang meninggal dunia.

Filipina tahan dua bot

Ismail berkata, polis akan mendapatkan kerjasama Filipina berhubung laporan pihak berkuasa negara itu menahan dua bot dinaiki 35 orang bersenjata di Tawi-Tawi, dipercayai dalam pelayaran ke Lahad Datu.

Katanya, pasukan keselamatan Malaysia belum dimaklumkan mengenainya tetapi maklumat lanjut akan diperoleh daripada pihak berkuasa Filipina.
Kita akan siasat dan dapatkan maklumat pihak berkuasa sana (Filipina), katanya selepas sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, semalam.

Media Filipina www.philstar.com dipetik melaporkan Tentera Laut Filipina memintas 35 pengikut Jamalul Kiram III yang menaiki dua bot di perairan Tawi-Tawi, dipercayai ke Lahad Datu, jam 6.30 pagi waktu tempatan.

Jurucakap tentera berkenaan, Leftenan Komander Gregory Fabic, dilaporkan berkata bot itu ditahan berhampiran bandar Andoligan. Turut dirampas beberapa senjata api dan bahan letupan.

Pos kawalan

Sementara itu, Ismail berkata, polis akan menyusun semula pola penempatan pos kawalan di jalan yang dipercayai digunakan pengganas bagi memastikan mereka tidak dapat meloloskan diri.

"Saya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hamza Taib) mencari lokasi strategik untuk membina pos kawalan di jalan digunakan pengganas Sulu dan pos di pesisir pantai," katanya.

Penyusunan semula itu penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat mengenai keselamatan mereka.

Katanya, polis juga akan menyusun semula penggunaan pegawai dan anggota pelbagai cawangan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam di negeri ini.


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger