Pengerusinya, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, pihaknya telah melancarkan satu sekretariat bersama Exco Pemuda Umno, Shafiqurahman Shamsuddin bagi membantu ahli keluarga mangsa.
"Bagi pihak keluarga sangat sedih dan terperanjat dengan punca kematian Claudia. Kami akan ke sana bersama ahli keluarga mangsa esok (hari ini) bagi mendapatkan jawapan yang lebih rasmi dan sah daripada pihak berkuasa Lubnan mengenai punca sebenar kematian Claudia.
"Kita akan bantu biaya dan uruskan jenazah mendiang balik ke Malaysia. Kami difahamkan mendiang mati bukan dalam keadaan bertugas," katanya kepada media semalam selepas berjumpa wakil Al-Jazeera di ibu negara.
Duta Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppanan mengesahkan mangsa mati disebabkan tembakan tetapi maklumat sebenar kejadian masih kabur.
Mendiang dikatakan berada di Lubnan sejak 28 Januari lalu untuk mengunjungi rakannya.
Menurut Muhammad Khairun, pertemuannya bersama Pengarah Serantau Asia Aljazeera semalam adalah bagi mengetahui butir-butir lanjut mengenai kematian Claudia di samping berbincang beberapa perkara.
"Kami dimaklumkan pihak insurans Al-Jazeera tidak akan menanggung kos membawa pulang mendiang kerana Claudia ke sana adalah untuk bercuti bukan bertugas.
"Oleh itu, perkara ini kami akan perincikan esok bersama pihak di sana. Kita telah maklum pada Wisma Putra, pihak Wisma Putra akan aturkan pergerakan kami serta menyediakan logistik kami di sana," katanya.
Tambah beliau, pihaknya dijangka kembali ke Malaysia bersama mayat mendiang pada 9 Februari.
"Itu sasaran kita untuk bawa pulang mayat mendiang. Segalanya kami akan uruskan sebaik mungkin," katanya.
Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dan ahli keluarga, akan menaiki penerbangan Emirates pada jam 11 pagi hari ini.
Dalam pada itu, keluarga mendiang meminta media menghormati saat kesedihaan yang dilalui oleh mereka.
Seorang ahli keluarga memberitahu Bernama hari ini mereka masih belum dapat menerima tragedi yang menimpa anak sulung mereka berusia 42 tahun itu.
"Ibu bapanya yang uzur dan kurang sihat telah 'diganggu' oleh media sejak berita kematian wartawan itu dimaklumkan. Kami amat menghargai sekira pihak media boleh menghormati privasi kami dan berdoa untuk rohnya," kata ahli keluarga itu.
Dilaporkan Claudia, yang berkhidmat dengan stesen televisyen Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti bersama dua rakan di Beirut.