"Masih ramai anak muda (yang menyokong kerajaan) dan anak muda inilah yang mewakili suara sebenar anak muda di Malaysia" tegas Mohd Shahar Abdullah, Presiden Alumni ASPIRASI Malaysia dalam ucapan pembukaan semasa majlis pelancaran di SMK Presint 8 (1) Putrajaya, pagi tadi.
Program Jelajah Anak Malaysia merupakan kesinambungan kepada Jelajah Aman Kampus yang diadakan tahun lalu. Peserta yang menyertai program ini akan menjelajah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 1 Februari selama 16 hari.
Jelajah Anak Malaysia ini akan dilanjutkan ke Sabah pada 25 Februari hingga 3 Mac 2013 dan Sarawak pada 5 hingga 12 Mac 2013. Kemuncak program ini akan dilangsungkan pada 16 Mac 2013 atas nama Perhimpunan Anak Malaysia.
Program yang disertai oleh mahasiswa dan beberapa gabungan NGO ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Program sebegini adalah pendekatan dinamik untuk membawa anak-anak muda mendekati kerajaan," jelas Tengku Adnan dalam ucapan perasmiannya.
Majlis Belia Kawasan Putrajaya (MBKPj) turut memberikan sokongan padu terhadap program yang dianjurkan oleh Alumni ASPIRASI ini. Pengerusinya, Tun Faisal Ismail Aziz merasa bertuah bila MBKPj menjadi organisasi pertama yang terlibat dalam program Jelajah Anak Malaysia.
"Peserta Jelajah Anak Malaysia akan menjadi wakil untuk melihat sejauh mana agenda transformasi kerajaan sampai kepada rakyat" kata Tun Faisal dalam temubual ringkas selepas majlis pelancaran. - Putrajaya Online