FERGIE DEDAH RAHSIA!!!

Friday 21 December 20120 comments


PENGURUS Manchester United, Alex Ferguson mendedahkan rahsia bilik persalinan yang menjadikannya jurulatih terhebat sepanjang suku abad.

Dalam kupasan menakjubkan terhadap falsafah dan psikologi pengurusan Ferguson, pengendali skuad Old Trafford itu bercakap secara terbuka mengenai pendekatannya terhadap pemain dalam era moden ini.

Ferguson membincangkan kesungguhannya untuk mempertahankan pasukannya daripada keletihan hingga ke minit terakhir, kunci untuk memastikan tiada pemain yang tersinggung, nilai utama yang diingini beliau serta tugas menyampaikan berita mengejutkan secara berdepan dan tidak pernah berfikir panjang, seperti yang pernah dikatakan beliau: “Jangan masuk tidur dengan perasaan bimbang.”

Fergie akhirnya membuka rahsianya kepada golongan akademik di Harvard Business School di Boston.

Jurulatih kelahiran Scotland yang bakal berusia 71 tahun menjelang malam tahun baru itu menyampaikan ceramah selama 40 minit di dalam kelas ketika kunjungannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Begitupun, penjelasan mengenai sikap, kesungguhan dan komitmen dalam menjadikan United pasukan nombor satu sekali lagi jelas kelihatan biarpun beliau merelakan dirinya dianalisis oleh satu daripada institusi terkemuka dunia.

“Sesetengah pengurus adalah ‘pengurus yang suka memanjakan pemain’. Mereka membiarkan pemain beraksi dalam lapan sepasukan atau 10 sepasukan, permainan yang disukai pemain.

“Kami melihat sesi latihan sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri.
Pemain mungkin fikir, mereka melakukan perkara sama tetapi ia membantu mereka untuk menang. Mesejnya mudah: kita tidak boleh berdiam diri di kelab ini.

“Tiada ruang untuk kritikan di padang latihan. Bagi pemain atau sesiapa pun, tiada apa yang lebih baik daripada mendengar ucapan ‘tahniah’. Itu adalah perkataan terbaik dicipta dalam sukan. Anda tidak perlu melampau.”

Ferguson yang bergelar pengurus sejak mengendalikan East Stirlingshire pada 1974, melangkah ke tahun ke-26 di Old Trafford bulan lalu dan menerima hakikat bahawa beliau perlu berubah dan menyesuaikan diri bagi memastikan beliau mendapatkan maklum balas maksimum.

“Pemain ketika ini hidup lebih terjaga jadi mereka lebih mudah tertekan berbanding 25 tahun lalu,” katanya.

“Pada ketika itu, saya sungguh agresif. Saya bersemangat dan mahu menang sepanjang masa.

“Tetapi hari ini, saya lebih tenang, semua ini disebabkan usia dan saya boleh mengendalikan pemain yang lemah dengan begitu baik sekarang.”

Tidak semua pemain adalah lemah. Ferguson bercakap mengenai menangani pemain yang ‘mempunyai kejahatan dalam diri mereka’ dan mula membayangkan Paul Scholes.

“Seorang daripada pemain saya pernah dibuang padang banyak kali. Dia akan melakukannya jika berpeluang termasuk ketika latihan.

“Bolehkan saya mengubah perangainya? Tidak. Jika anda merampas sikap agresif daripadanya, dia bukanlah dirinya sendiri.

“Justeru anda perlu menerima hakikat bahawa sedikit kecacatan diimbangi oleh perkara hebat yang boleh dia lakukan.”

Bagi Ferguson, semua itu membabitkan kepercayaan, bukan ketakutan. Biarpun beliau mengakui tidak boleh mempercayai pemain keterlaluan dan bersedia untuk mengingatkan kepada mereka siapa pengurus sebenar.

“Anda tidak boleh datang ke stadium sambil menjerit. Ia takkan menjadi. Tiada siapa suka dikritik.

“Tetapi di dalam bilik persalinan, adalah penting untuk anda memberi penekanan terhadap kesilapan pemain anda.

“Saya terus melakukannya selepas perlawanan. Saya tidak menunggu sehingga Isnin. Jika saya lakukannya, habislah. Saya bersedia untuk perlawanan berikutnya. Tiada gunanya mengkritik pemain selama-lamanya.

“Anda tidak boleh hilang kawalan, apatah lagi apabila anda berdepan dengan 30 pemain profesional ternama yang semuanya jutawan.

“Jika mereka berkelakuan kurang sopan, kami denda mereka tetapi kami melakukannya secara dalaman. Sesiapa yang melangkaui kawalan saya, habislah mereka.” - HM
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger