Gencatan berkuat kuasa 9 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia).
Harapan itu menjadi kenyataan semalam selepas 157 orang terbunuh susulan serangan Israel ke atas Gaza pada Rabu lalu. Seramai 13 orang terbunuh semalam, sebelum gencatan dikuatkuasakan.
Konflik di Gaza selepas Israel menembak mati ketua sayap tentera Hamas, Ahmed al-Ja'abari pada 14 November lalu.
Beberapa jam sebelum perkembangan itu diumumkan sebuah bas di Tel Aviv letup, menyebabkan lebih 10 penumpang cedera.
Persetujuan gencatan ini sebenarnya dijangkakan akan dicapai kelmarin tetapi hanya menjadi kenyataan malam tadi.
Di bawah perjanjian itu, Israel dilaporkan telah bersetuju untuk mengakhiri kesemua bentuk sasaran pembunuhan manakala Hamas pula akan menghentikan serangan ke atas Israel.
Menteri Luar Mesir, Kamel Amr mengumumkan perkembangan ini pada satu sidang media Kaherah bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton. Clinton turut menyertai perundingan bersama merundingan gencatan senjata.
Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal menyifatkan tindakan ketenteran Israel telah gagal.
Menurut laporan BBC, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Mesir yang menggerakkan usaha ke arah gencatan dan menghentikan konflik terbaru di wilayah Gaza yang ditadbir oleh Hamas.
Katanya, perjanjian gencatan senjata memenuhi tuntutan-tuntutan Hamas.
Sehubungan itu katanya, kesemua laluan ke Gaza akan dibuka semula termasuk yang bersempadan dengan Mesir.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula berkata, beliau bersetuju dengan pandangan AS bahawa harus diberi satu peluang untuk melaksanakan syor Mesir dan mewujudkan kestabilan di rantau itu.
Katanya, Israel akan mengambil tindakan tegas jika perjanjian gencatan dicabuli.
Clinton dipetik berkata, bagi memastikan perjanjian gencatan senjata menjadi kenyataan, serangan roket dari Gaza mesti dihentikan dan suasana tenang yang menyeluruh mesti diwujudkan kembali.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menyambut baik keputusan ini.
Laporan media juga menyebut penduduk Palestin di Gaza menyambut baik perkembangan tersebut.