PADA Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 tahun 1999, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencabar Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir meletak jawatan kerana menganggap beliau (Dr. Mahathir) sudah tua, nyanyuk dan uzur.
Menteri Besar Kelantan itu juga berjanji akan meletak jawatan setelah Dr. Mahathir berbuat demikian.
Namun itu hanyalah janji yang tidak ditepati sehingga kini. Setelah sembilan tahun Dr. Mahathir meletak jawatan pada 2003, Nik Aziz masih sayang untuk melepaskan tampuk kuasa. Malah beliau membayangkan akan terus bertanding pada PRU ke-13.
Bagi Dr. Mahathir, seseorang yang tidak menepati janji tidak sepatutnya menjadi pemimpin. Seperti yang beliau tegaskan baru-baru ini, pemimpin yang tidak menepati janji akan terus berbuat demikian selagi berkuasa dan akhirnya boleh mendatangkan mudarat kepada negara.
Jika Nik Aziz mahu Dr. Mahathir melepaskan jawatan atas alasan sudah tua dan nyanyuk, adakah Nik Aziz pada usia 81 tahun beranggapan beliau masih bertenaga dan mempunyai daya ingatan yang kuat untuk terus menjadi pemimpin? Atau adakah beliau beranggapan dirinya sebagai `tidak boleh diganti kerana tiada yang layak menjadi pengganti?
Sebenarnya bukan sahaja Nik Aziz mungkir janji untuk berundur, malah banyak perkara dalam manifesto pilihan raya Pas juga sehingga kini masih dimungkiri, masih belum ditunai.
Hakikat ini sewajarnya menjadi kayu pengukur kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang boleh dipercayai serta berpegang kepada janji. Ingatlah, menepati janji adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam.
"Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih"
mimr