UMNO BUAT KERJA, PR DAPAT NAMA

Tuesday, 15 May 20120 comments


SHAH ALAM 15 Mei - Sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR), masing-masing tetap mempertahankan pendirian bahawa desakan pemansuhan dua tol di Lebuh Raya Persekutuan adalah semata-mata untuk memperjuangkan hak rakyat.

Penyelaras BN Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md Zin berkata, tuntutan penghapusan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau, Klang di lebuh raya itu bukan bermotifkan politik untuk meraih sokongan rakyat.

“Kita buat semua ini untuk rakyat dan kita bersungguh-sungguh serta konsisten untuk bawa isu ini kepada Kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan, malah telah menghantar memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Jun tahun lalu.

“Ini kerana, kita merasakan perkara ini (pemansuhan tol) terlalu lama. Rintihan rakyat dan mendengar denyut nadi mereka memang menjadi tanggungjawab kami membantu masyarakat,” katanya ketika diminta mengulas sama ada desakan pemansuhan kedua-dua tol berkenaan dibuat bermotifkan politik atau disebabkan rakyat.

Ditanya sama ada BN bersedia bekerjasama dengan PR untuk membawa desakan itu kepada Kerajaan Pusat, Ahmad Nawawi yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam berkata, pihaknya tidak menolak berbuat demikian sekiranya PR benar-benar ikhlas memperjuangkan hak rakyat.

“Walaupun berbeza (ideologi) politik, kalau benda baik, buat apa kita hendak tolak. Kita tahu masing-masing cuba perjuangkan hal masing-masing, tetapi kita kena lihat dululah mereka (PR) ikhlas atau tidak, sebab janji mereka dalam manifesto sebelum ini banyak yang belum tertunai.

“Setakat ini, belum ada lagi perancangan untuk bertemu mereka (PR) bagi membincangkan hal ini. Saya kena dapatkan pandangan ahli parti dan anak buah dulu. Tidak mahulah nanti kita yang buat kerja, tetapi orang lain yang dapat nama,” katanya.

Pada 11 Mei, seramai 300 ahli Umno dan warga Shah Alam mengadakan demonstrasi aman mendesak Kerajaan Pusat memansuhkan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dua hari selepas itu, kira-kira 100 penyokong PR membuat demonstrasi menuntut perkara sama.


UMNO TERUS UNGGUL MEMBELA RAKYAT
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger