SHAH ALAM 15 Mei – Rakyat Malaysia bakal mengundi pada 7 atau 8 Julai! Spekulasi tarikh PRU13 terus jadi tanda tanya dan perbualan masyarakat.
Itu tarikh baru yang popular setelah jangkaan pada 9 Jun 'terbang' bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom malam kelmarin.
Sumber dalaman Umno memberitahu, satu perhimpunan besar-besaran ahli parti komponen BN bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Jun ini.
Berkongsi tarikh yang sama, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak spekulasi tersebut.
“Semalam (kelmarin) Najib terbang ke United Kingdom dan mungkin apabila kembali pada hujung bulan ini. Beliau akan menggunakan masa yang ada bagi mengenal pasti calon BN yang akan bertanding nanti.
“Perkara ini (pemilihan calon) tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelakkan timbul isu lain. Saya menjangkakan Julai depan tarikh PRU13 iaitu sebelum bulan Ramadan atau secara tepatnya, 8 Julai," katanya.
Menurut Sivamurugan, jika negeri Pakatan Rakyat (PR) masih mahu meneruskan pilihan raya berasingan, ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pula berkata, jika Perdana Menteri masih tidak membubarkan Parlimen bulan depan, hampir pasti PRU13 diadakan pada September ini.
"Hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun, jadi Perdana Menteri masih boleh bubarkan Dewan Rakyat pada Isnin selepas itu (4 Jun)," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan Parlimen dibubarkan sebelum 2 Jun, Dr Mohamed Mustafa berkata, kemungkinan itu amat tipis kerana Najib sudah tentu tidak akan memiih untuk meraikan hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara (caretaker government).
+ comments + 1 comments
Mantap Shah Alam! Teruskan Perjuangan