TERKINI! PENYOKONG BOLA SEPAK SELANGOR BERI AMARAN

Thursday 1 February 20180 comments



Penyokong Red Giants menuntut kerajaan negeri Selangor mengetepikan kemelut politik dan membenarkan pasukan juara Piala Malaysia 33 kali itu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai venue rasmi bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Mohd Firdaus Abdul Mutalib, berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan mereka sebagai mangsa kemelut politik yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila tidak dapat menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain di gelanggang yang cukup sinonim sejak sekian lama itu.

“Jangan campur-adukkan isu politik dengan bola sepak. Jika Stadium Shah Alam wujud untuk kegunaan rakyat, kenapa kerajaan negeri yang kononnya melaungkan kerajaan peduli rakyat menafikan hak kami dan skuad The Red Giants.

“Kami mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan hal ini dan mengapa dua pasukan lain iaitu PKNS FC dan FELCRA pula dibenar beraksi di Stadium Shah Alam,” katanya pada sidang media yang dihadiri lebih 50 wakil daripada 14 kelab penyokong The Red Giants, di sini, hari ini.

Beliau berkata disebabkan penafian hak beraksi The Red Giants di stadium keramat itu masih berlarutan, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Mohamed Azmin dalam masa terdekat bagi menggesa kerajaan negeri menjawab tuntutan penyokong pasukan bola sepak tersebut.


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger