AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengejutkan pengikut laman Twitternya apabila membuat posting kononnya sebuah pesawat tambang murah Air Asia terhempas berhampiran Putrajaya malam tadi.
Akibat gurauan itu, ramai rakan penulis menghentam beliau di dalam blog masing-masing kerana mengetahui bahawa berita itu adalah palsu. Tidak kurang juga yang mengkritik tindakannya di dalam Facebook dan Twitter.
Soalnya, kenapa seorang pemimpin dan wakil rakyat sengaja membuat berita palsu itu hingga menimbulkan kerisauan banyak pihak?
Adakah beliau sengaja ingin menipu rakyat?
Itu semua tidak benar. Ini adalah helah semata-mata.
Sebenarnya, berita palsu itu sengaja dirancang untuk memberi laluan publisiti kepada Dr Syed Azman sendiri.
Ini kerana Dr Syed Azman akan mengetuai satu pembongkaran tentang salah laku dan penyelewengan terbesar yang kononnya dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin oleh parti Barisan Nasional (BN) di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, jumaat ini.
Jika diperhatikan, 'Media Strategy Plan' yang digunakan oleh Dr Syed Azman mirip strategi yang dilakukan oleh Rafizi Ramli tidak lama dahulu ketika meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor.
Ekoran peletakan jawatan Rafizi, timbul pelbagai spekulasi kononnya berlaku masalah dalaman dan perpecahan di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada juga yang membuat andaian bahawa Rafizi akan menyertai BN.
Akhirnya, semua rakyat Malaysia tertipu.
Sedangkan, Rafizi sengaja berbuat demikian untuk mendapatkan liputan peribadi dan publisiti media kerana beliau diarahkan untuk membuat pendedahan tentang penyelewengan yang kononnya berlaku di National Feedlot Corporation (NFC).
Akibat pendedahan itu, Datuk Seri Shahrizat Jalil menjadi mangsa dan terpaksa akur dengan melepaskan jawatan menteri ekoran tekanan banyak pihak.
Soalnya, jika benar Dr Syed Azman bakal membuat pendedahan penyelewengan terbesar yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu, adakah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bakal menerima nasib seperti Shahrizat?
Hati-hatilah dengan 'Konspirasi luar tabi'e' oleh mereka ini.