[TERKINI] PEMILIHAN UMNO 2013: ADA APA DENGAN JAMAWI JAAFAR?

Tuesday 17 September 20130 comments


Pemilihan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (NKP) kali ini berjaya mencuri tumpuan banyak pihak apabila nama calon-calon dibariskan nampaknya bukan calang-calang orang termasuklah Ketua Pemuda Perak, Khairul Azwan Harun (atau, Azwan Bro) dan Pengerusi Unit Pidato Pemuda UMNO, Lokman Nor Adam telah dikhabarkan bakal bertanding merebut jawatan nombor dua sayap sayap UMNO itu.


Menurut penulis, dua nama ini cukup hebat dari pelbagai sudut termasuk mempunyai kekuatan pengaruh pada peringkat pusat, memegang potfolio kukuh dalam sayap parti, malah masing-masing juga petah berbicara. Maka seandainya dibandingkan dengan calon-calon NKP lain, penulis sendiri merasakan pertembungan merebut jawatan NKP kali ini akan lebih terfokus kepada pertembungan antara Lokman dan Azwan.


Namun pada masa sama, kewujudan Ketua Pemuda UMNO bahagian Tenom, Jawami Jaafar yang juga bertanding jawatan NKP tidak sewajarnya dipandang enteng dan diambil mudah oleh mana-mana pihak. Malah penulis dimaklumkan bahawa Jamawi mempunyai sokongan kuat akar umbi UMNO Sabah biarpun kurang popular kalangan ahli UMNO di Semenanjung.

Ditambah pula dengan track-record cemerlang sepanjang memegang jawatan politik, baik di peringkat bahagian, negeri mahupun di peringkat pusat, maka kehadiran Jamawi dalam pemilihan NKP kali ini sememangnya pencabar sengit kepada Azwan dan Lokman.

Malah jika dibandingkan antara ketiga-tiga calon ini, ternyata pemimpin muda dari Negeri Di Bawah Bayu ini tidak kurang hebatnya apabila mempunyai pencapaian memberangsangkan sepanjang memegang potfolio Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kemampuan beliau menerajui potfolio terbabit membuahkan hasil apabila beliau berjaya mendekatkan golongan seni kepada parti melalui pendekatan dan pelaksanaan pelbagai program sehinggakan golongan tersebut berani menyatakan sokongan terhadap UMNO secara terbuka semasa Pilihanraya Umum 13 (PRU 13) lalu.

Malah penyertaan beberapa nama besar industri hiburan seperti Amy Search, Zed Zaidi, Jamal Abdillah, Mus May dan lain-lain lagi, boleh dianggap sebagai sebahagian resume pencapaian besar anak muda Sabah ini bagi menyanggah suara-suara sumbang mempertingkaikan kelayakan beliau untuk bertanding jawatan nombor dua dalam Pergerakan Pemuda UMNO.


Dan sewajarnya kita kembali bertanya, apakah lagi yang harus Ketua Pemuda UMNO Tenom itu lakukan bagi meyakin dan membuktikan kepada akar umbi bahawa beliau sememangnya layak memegang jawatan tersebut?

Namun walaupun begitu, penulis masih berpandangan bahawa penilaian terhadap Jamawi wajar dilakukan dalam ruang lingkup lebih luas dan kita wajar menyedari bahawa beliau bukan calon popular kerana "kurang mesra" dengan media massa berbanding calon-calon NKP lain.

Penulis sendiri terpaksa mengikuti profail Instagram (jamawijaafarofficial), Twitter(@JamawiOfficial) dan Facebook Jamawi Jaafar untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui perkembangan lanjut pemimpin muda Sabah ini.

Hasil pencarian kata kekunci "Jamawi Jaafar" melalui enjin Google (sila klik disini) juga mendapati bahawa beliau kurang berpengaruh di ruang maya apabila Google hanya menemui sekitar 12,000 hasil carian berkaitan beliau, jauh ketinggalan berbanding calon-calon NKP lain, Azwan Harun (241,000 hasil carian) dan Lokman Adam (1,480,000 hasil carian).

Hal ini membuktikan bahawa Jamawi sememangnya bukan calon popular berbanding lawannya. Justeru beliau perlu lebih giat mempromosikan diri melalui media massa dan alam siber bagi memastikan setiap perwakilan Pemuda dan ahli UMNO mengenali beliau.

Seandainya beliau berdegil dan tetap mengekalkan pendekatan ortodoks untuk sekadar berkempen melalui perjumpaan dengan wakil pemuda pada peringkat bahagian semata-mata, tanpa mempedulikan sebarang promosi melalui media massa dan media sosial, penulis berkeyakinan kuat bahawa Jamawi bakal ditinggalkan bukan sahaja melalui jumlah undian semasa pemilihan nanti, malah turut ditinggalkan dari aspek karier politik berbanding Azwan dan Lokman.

Justeru beliau harus segera mengerakkan kempennya juga melalui peranan media jika beliau mahu dianggap sebagai ahli politik yang mampu berdiri di atas kapasiti dirinya sendiri.

Bayang-bayang majikannya, Dato' Seri Shafie Apdal semata-mata tidak cukup bagi memberikan sebarang kelebihan kepada beliau terus dipandang relevan dan dihormati akar umbi, sementelaah pula beliau perlu mempersiapkan diri untuk menjadi seorang politikus independent, diyakini dan disegani sekiranya beliau mahu melangkah lebih jauh dalam kancah politik.


Pengaruh Shafie Apdal belum mampu memastikan kejayaan Jamawi dalam Pemilihan Agung UMNO, Oktober nanti.


Ketika ini Jamawi harus berani melakukan perubahan untuk menghapuskan stigma "anak emas Shafie Apdal" jika mahu memastikan sokongan teguh akar umbi terhadap beliau berterusan. Dan sudah tiba masanya untuk Pengerusi Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini, berusaha mencipta reputasi sendiri bagi meletakkan dirinya sebaris dengan pemimpin-pemimpin muda UMNO lain.

Kini Jamawi hanya mempunyai sedikit masa untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud seandainya mahu terus bersaing dalam merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO. Sekiranya beliau tidak mahu dianggap sebagai calon payung terjun dalam pertembungan ini, sewajarnya beliau segera keluar dari kepompong keselesaan dan membuktikan bahawa beliau bukan 'ayam serama' - cantik carik bulunya, mahal pula harga, dijaga sebaik-baik oleh tuan empunya, namun kurang berisi tubuhnya, hanya bijak menunjuk lagak mendada, kalah pula sabung dengan ayam-ayam laga.

Apa-apa pun, penulis ucapkan selamat maju jaya kepada Jamawi dan semoga berjaya memenangi jawatan NKP.

Jamawi perlu buktikan bahawa beliau bukan 'ayam serama'

Selanjutnya, [klik sini]


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger