Anwar Ibrahim adalah pencipta, pencetus dan perasmi 'Politik Wang' di dalam UMNO.
Barangkali ramai peminat politik sudah lupa bahawa Anwar Ibrahim bukan sahaja punya nama besar di arena politik tanah air. Tetapi beliau juga merupakan pengasas kepada politik wang di dalam parti UMNO.
Itulah antara sumbangan terbesar Anwar Ibrahim sepanjang penglibatannya sebagai ahli UMNO hingga menjadi orang nombor dua dalam parti suatu ketika dahulu.
Kenapa politik wang? Sudah tentu tindakan Anwar merasuah perwakilan adalah untuk membeli undi supaya menyokong beliau dan kroni-kroninya menang dalam pemilihan dan menjawat jawatan-jawatan strategi di dalam parti.
Akibat perbuatan Anwar itu, ramai pemimpin yang ikhlas berjuang untuk UMNO dilenyapkan daripada menduduki saf-saf kepimpinan pada ketika itu.
Antara nama-nama yang terkena tempias akibat kegiatan politik wang oleh Anwar ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Ghafar Baba, Sanusi Junid, Abdullah bin Ahmad Badawi dan Datuk Hj. Suhaimi Kamaruddin.
Kegiatan politik wang oleh Anwar semakin menjadi-jadi ketika beliau bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden UMNO. Akibatnya, Tun Ghafar Baba tidak layak bertanding kerana tidak cukup pencalonan akibat agen-agen Anwar terlebih dahulu merasuah pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian.
Ketika era itulah, budaya politik wang semakin menjadi-jadi. Ahli UMNO di peringkat bahagian berebut-rebut menjadi perwakilan hanya kerana sudah ketagih dengan wang haram. Penulis pernah diberitahu, seorang perwakilan pernah mendapat wang sogokan berjumlah RM40k sebaik pulang dari Perhimpunan Agung UMNO.
Maka tidak hairanlah, para musibat ini sanggup lakukan apa sahaja asalkan terpilih sebagai perwakilan.
Akibat politik wang, dalam sekelip mata Anwar berjaya menguasai setiap sendi di seluruh peringkat kepimpinan UMNO meliputi cawangan, bahagian dan perhubungan negeri.
Anwar juga adalah pencetus kepada budaya 'cai' dan 'kapal'. Ketika cuba mengekalkan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya pada tahun 1984. Beliau telah menyusun barisan cai-nya dengan menggunakan slogan "Pemuda Penggerak Zaman". Penyandang sebelumnya, Datuk Hj. Suhaimi Kamaruddin tewas kali kedua walaupun mendapat sokongan padu akar umbi. Malangnya akar umbi tidak boleh mengundi ketika itu.
Anwar sekali lagi membentuk barisan cai-nya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Barisan cai itu digelar sebagai 'Team Wawasan'. Pasukan itu menang besar pada pemilihan ketika itu. Anwar berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin nombor 2 di dalam parti.
Jangan lupa, Anwar juga merupakan perintis kepada kemasukan golongan ahli perniagaan dan kontraktor ke dalam parti UMNO yang kini dilihat sebagai perosak parti. Mungkin juga ada yang baik hati, tapi tidak ramai. Ramai juga yang telah lompat parti.
Anwar telah memberi ruang kepada golongan itu untuk merebut jawatan di dalam parti. Golongan guru yang dahulunya mendominasi kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian telah disingkirkan.
Maka bermulalah era, pemimpin UMNO terdiri daripada golongan kontraktor dan ahli perniagaan. Mereka ini hanya punya satu cita-cita sahaja, menggunakan jawatan untuk melobi projek-projek selain menjadi 'funder' kepada pemimpin tertentu seperti Anwar Ibrahim pada ketika itu.
Jadi, para perwakilan pada pemilihan kali ini wajib sedar dan insaf. Mereka yang berangan nak sogok perwakilan dan sebagainya kena tinggalkan perbuatan jijik itu. Janganlah mengkhianati parti sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu.
Harus diingat, UMNO ini parti keramat, dicipta untuk menyelamat, lahir dengan rahmat, khalimah tersemat, buat dengan niat, niat untuk umat. Umat Islam, Melayu dan Muhammad.
Janganlah khianat, anda pasti pergi terhina, mungkin jadi musibat, mungkin juga mudah kecewa, kecewa itu sia-sia, kecewa juga bukan rahmat, umat perlu rahmat, moga dapat syafaat, hidup terus berkat, barulah semuanya selamat, Insyaallah selamat di dunia dan di akhirat.