[TERKINI] KHALID SAMAD CAKAP PORTAL MALAYSIAKINI PENIPU!!?

Wednesday 5 June 20130 comments


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan menyalahkan mana-mana pihak istana terutama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu kelewatan pelantikan anggota exco kerajaan negeri itu.

Sebaliknya, Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor itu mendakwa portal berita Malaysiakini sengaja mensensasikan artikel yang ditulisnya dalam blog berkaitan pelantikan ahli Exco kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, Khalid berkata beliau hanya mengeluarkan kenyataan mengenai mekanisme pengagihan kerusi exco Selangor untuk parti-parti di bawah Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS kerana kemenangan berbeza dalam parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) lalu dan pada 2008.

"Dalam artikel saya tidak mengatakan ada kelewatan. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Saya hanya menjelaskan perbezaan suasana (pilihan raya) 2008 dan 2013 yang menyebabkan perlunya ada perbincangan dan bukannya pergaduhan," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Beliau merujuk kepada kenyataan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pada Khamis lalu yang menafikan dakwaan bahawa kelewatan pelantikan exco Selangor adalah disebabkan untuk memenuhi kehendak Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohamad Munir dalam kenyataannya mengingatkan pengamal media sosial termasuk penulis blog agar tidak mengheret pihak istana terutama Sultan Selangor dalam apa juga perkara tanpa siasatan terlebih dahulu bagi mengelak tanggapan salah rakyat terhadap baginda.

Khalid baru-baru ini menulis satu artikel yang bertajuk 'Isu Pelantikan Exco Selangor: DAP dan PAS Bergaduh?' di blog milik beliau iaitu www.khalidsamad.com.

Menurut Khalid, tidak timbul soal kelewatan pelantikan exco kerana ia mengikut peraturan dengan melakukannya dalam tempoh yang dibenarkan iaitu 60 hari.

Ditanya adakah beliau ada menghadap pihak istana untuk memberikan penjelasan, Khalid berkata: "Tak payahlah. Dia (Mohamad Munir) pun tak panggil saya untuk (dapatkan) penjelasan. Ini hal kecil. Saya harap akhbar (media) dapat perbetulkan supaya tidak timbul masalah."


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger