PEMUDA PAS TOLAK PERHIMPUNAN ANWAR, GESA AHLI BOIKOT!!?

Wednesday 22 May 20130 comments


Dewan Pemuda Pas menolak perhimpunan jalanan yang sedang digerakkan oleh aktivis-aktivis propembangkang bagi memprotes keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, pihaknya menolak keganasan serta suasana huru-hara dan kacau-bilau di dalam negara ini.

Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas mengambil pendirian itu kerana mereka menyayangi negara dan seluruh rakyat.

"Kami berjuang untuk masa depan agama, negara dan rakyat.

"Kami tidak akan turun ke jalan raya untuk mencetus keganasan dan keresahan rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz semalam," katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya semalam menyifatkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi kaedah spring atau 'ledakan di jalan raya' sebagai perbuatan gopoh.

Sebaliknya, Nik Mohd. Abduh mengajak golongan muda agar insaf kerana semangat berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu kemenangan.

Seruan Nik Mohd. Abduh itu mengundang pelbagai reaksi daripada para pengikutnya di Facebook, malah salah seorang daripadanya yang menggunakan identiti Jean Francoise menggelarkan Ahli Parlimen Parlimen Pasir Mas itu sebagai 'bebal'.

Bagi mengulas lanjut, Nik Mohd. Abduh dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini berkata, beliau menyokong perhimpunan aman, namun usaha itu memerlukan persetujuan rasmi kesemua parti dalam pakatan pembangkang dan pemantauan rapi.

"Takut provokasi tak terkawal oleh musuh pakatan pembangkang yang sentiasa mahu mengotorkan reputasi pakatan yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengikut-pengikutnya di Facebook membaca pesanan yang dimuatkan dalam kenyataannya semalam berulang kali kerana mengandungi nasihat yang bagus.
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger