BUAT KERJA BODOH, PEMANDU TEKSI DIDENDA ROSAKKAN BENDERA BN!!!

Tuesday 14 May 20130 comments


Gara-gara mematah serta mencampak 90 bendera Barisan Nasional (BN), April lalu, seorang pemandu teksi didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman, menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Yusri Yahaya, 32, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di tepi jalan Pandan Indah, berhadapan Masjid Indah, Ampang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 4 petang, 9 April lalu.

Bakal pengantin itu didakwa melakukan khianat dengan mematah dan mencampakkan 90 helai bendera BN yang berada di bawah kawalan Ketua UMNO Cawangan, Sri Merpati, A. Rahim Md. Deris, 60, dengan anggaran kerugian RM500.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene mengemukakan pertuduhan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Ayuni Izati sempat menasihati Mohd. Yusri agar tidak mengulangi perbuatannya itu kerana walaupun perkara itu remeh tetapi kesannya boleh menyebabkan seseorang itu dihadapkan ke mahkamah.

"Saya berharap hukuman ini akan menjadi pengajaran dan kamu tidak akan buat lagi. Harap jadikan perkara ini sebagai pengajaran, insaf dan tidak buat lagi," katanya.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu, A. Rahim sedang memasang bendera di tepi jalan Pandan Indah berhadapan Flat Sri Merpati, beliau nampak tertuduh sedang merosakkan 90 helai bendera BN yang dipasangkan di kawasan tersebut.

Beliau kemudiannya menghampiri tertuduh bagi menghalangnya daripada meneruskan perbuatan itu tetapi tertuduh terus memasuki teksinya dan beredar.

Mohd. Yusri membayar denda tersebut. - Utusan
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger