MASAYU menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya di tingkat dua rumahnya di Pangsapuri Lagoon Perdana.
Masayu berkata, dia yang tinggal di tingkat dua blok enam kediaman berkenaan tidak berpuas hati dengan pengurusan yang menjanjikan pembaikan lif pada 2 April lalu, tetapi sehingga sekarang masih tidak diselenggara.
“Kedua-dua lif rosak pada penghujung Mac lalu dan pihak pengurusan berjanji untuk membaikinya pada 2 April lalu kerana ketiadaan alat ganti namun sampai sekarang tiada tindakan,” katanya ketika ditemui di pangsapuri berkenaan, di sini, semalam.
Menurutnya, sudah banyak kali dia mengajukan pertanyaan itu namun jawapan sama diberikan kepadanya oleh pihak terbabit.
“Saya mengharapkan jiran yang lalu lalang bagi membantu saya naik serta turun setiap hari dan nasib baik ramai yang membantu,” katanya.
Lebih memberi tekanan apabila dia berasa kurang selesa kerana tangga mudah berpasir apabila kerap digunakan sepanjang lif rosak, malah sampah berselerakan termasuk ada yang meludah di tangga.
Sementara itu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, dia tidak tahan dengan keadaan itu jika ia berlarutan kerana keadaannya yang menghidap asma.
“Saya tinggal di tingkat 15 dan terpaksa menggunakan tangga untuk turun dan naik setiap hari. Saya risau dengan tahap kesihatan saya,” katanya.