[TERKINI] : SUPT. IBRAHIM LEBAR KORBAN TERBARU DI LAHAD DATU!!! AL-FATIHAH...

Sunday, 3 March 20130 comments


BESUT – Keluarga pegawai kanan polis yang terkorban dalam serang hendap di Semporna, Sabah malam tadi, tidak menyangka laporan berita yang dibaca di Internet melibatkan adik beradik mereka sendiri.

Kakak pegawai kanan polis itu, Mek Nab Lebar, 60, berkata berita mengenai kejadian yang mengorbankan Supt Ibrahim Lebar, 52, dibaca oleh adik bongsu mereka yang menetap di Melaka dan mengkhabarkan berita buruk itu kepadanya malam tadi.

“Hati ini dah mula tidak berapa sedap tapi kami tidak berapa percaya dan ambil keputusan terus hubungi isteri Allahyarham, Rosiah…dia juga mengatakan tidak dapat menyatakan kepastian.

“Akhirnya pagi ini kami terima berita kematian adik saya itu daripada isterinya kira-kira pukul 8 pagi setelah dimaklumkan oleh polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jabi dekat sini, hari ini.

Ibrahim dan empat lagi anggota polis terkorban dalam kejadian serang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perkampungan atas air Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna Sabah kira-kira pukul 8 malam tadi.

Ibrahim dari Cawangan Khas, Bukit Aman berada di Semporna sejak dua minggu lepas dan difahamkan akan pulang ke semenanjung hari ini.

Ketika pemberita tiba di rumah kakak Ibrahim tengah hari ini, keluarga itu sedang bersiap untuk ke rumah Allahyarham di Seksyen 15, USJ, Subang Jaya, Selangor.

Ibrahim yang dipanggil ‘Sudin’ oleh anggota keluarganya adalah anak kesembilan daripada 10 beradik dan dia seorang yang ramah dan mudah mesra dengan sesiapa yang ditemuinya.

Mek Nab berkata adiknya itu mendapat didikan awal di Sekolah Kebangsaan Jabi dan meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Alor Lintang, dekat sini sebelum memasuki kerjaya sebagai Inspektor Polis selepas menduduki Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Selepas bekerja, Ibrahim melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mek Nab berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham ialah pada 24 Jan lepas ketika mengadakan kenduri Maulud Nabi di rumah peninggalan pusaka keluarga, di kampung itu.

“Sudin paling suka makan nasi kerabu, tiap kali balik ke Besut dia pasti membelinya atau menyuruh saya membuatnya untuk dimakan bersama isteri dan anak-anaknya,” katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Jenazah Ibrahim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di USJ, Subang Jaya atas permintaan isterinya yang bertugas sebagai pegawai di sebuah bank di sana. - BERNAMA
Share this article :

Random Posts

 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger