[TERKINI] : (6 MAC) PERKEMBANGAN SEMASA DI LAHAD DATU!!!

Wednesday 6 March 20130 comments


LAHAD DATU - Operasi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, dekat sini diteruskan pada Rabu.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di Lahad Datu dan Semporna masih terkawal.

Di kawasan Felda Sahabat, kawalan pasukan keselamatan negara di bawah Ops Daulat masih ketat dengan zon penampan dikuat kuasa di kawasan-kawasan sekitar 10 kilometer persegi dari Kampung Tanduo.

Keadaan masyarakat setempat di kawasan terbabit berjalan seperti biasa dengan penduduk keluar melaksanakan rutin harian mereka.

Pemeriksaan polis di sekatan jalan raya yang menuju ke Felda Sahabat juga diperketatkan serta nama wakil media yang bertugas di kawasan itu juga direkodkan pihak polis bagi tujuan keselamatan.

Pemeriksaan juga dilakukan terhadap van dan kenderaan yang membawa penumpang yang ramai.

7:51 malam : Pegawai dari cawangan khas, Bukit Aman yang cedera dalam insiden tembak-menembak di Semporna dihantar pulang ke sini bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Dipercayai, pegawai itu adalah Inspektor Mohd Hasnal Jamil, 31, yang terselamat dalam kejadian tembak-menembak pada Ahad ketika menentang penceroboh Sulu bersenjata.

Difahamkan, beliau tiba di bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 6.25 petang menggunakan pesawat komersial.

Sumber polis yang ditemui di KLIA berkata, anggota polis yang cedera itu akan dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

6:30 petang : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya tidak menerima laporan terdapat empat orang termasuk dua anggota polis menjadi tebusan pengganas Sulu.

Beliau mengulas dakwaan anak perempuan Jamalul Kiram III, Jacel Kiram bahawa mereka mempunyai empat tebusan terdiri daripada dua anggota polis, seorang anggota tentera dan seorang pegawai tinggi kerajaan.

Selain daripada itu beberapa pengganas Sulu dipercayai mati ditembak dalam kejadian tembak menembak di Tanjung Batu, kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Kata Ismail, ia berlaku ketika operasi mencari dan menggeledah yang diperluaskan ke kawasan itu daripada Kampung Tanduo.

"Bagaimanapun saya tidak dapat sahkan jumlah mereka sekarang dan ia masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

4:30 petang : 13 anggota pengganas Sulu mati dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal pagi semalam sehingga kira-kira jam 4.15 petang ini.

Foto sembilan daripada mayat berkenaan dipamerkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media, sebentar tadi.

Seorang pegawai forensik polis yang menjalankan tugas dalam operasi mencari dan menggeledah diserang pengganas Sulu tetapi terselamat pada kira-kira jam 1.45 petang tadi.

Zahid menegaskan agar tiada pihak yang memperlekehkan usaha 'mopping up' yang sedang dijalankan kerana faktor landskap serta bentuk muka bumi mengakibatkan ia mengambil masa.

Kata beliau, kebolehan pasukan yang terlibat berada di tahap yang paling tinggi selain kerjasama antara PDRM dan ATM membuahkan hasil.

4:00 petang : Pasukan keselamatan kini bersedia meningkatkan operasi pemeriksaan di Kampung Tanjung Batu di Tanjung Labian, yang dikatakan menjadi lokasi persembunyian pengganas Sulu, menurut sumber.

3:30 petang : Usaha memburu saki baki kumpulan pengganas Sulu yang sebelum ini dalam sekitar empat kilometer persegi di kampung Tanduo, diperluaskan hari ini melibatkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, zon menggeledah sebelum ini pihak keselamatan mengesan pergerakan pengganas yang menuju ke kawasan tertentu dan operasi menggeledah terpaksa diperluaskan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu cemas kerana pihak keselamatan negara sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan penduduk di kawasan ini.

3:00 petang : Di Semporna, polis menahan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Sri Jaya Simunul, di sini, Sabtu lepas.

Empat lelaki yang ditahan dalam operasi khas oleh sekumpulan anggota polis dari jabatan cawangan jenayah berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah itu berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an.

Menurut polis, operasi yang dijalankan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari Pekan Semporna, bertujuan menangkap penceroboh yang didakwa menyamar sebagai penduduk kampung di beberapa kawasan di Semporna.

"Bertindak hasil maklumat awam dan maklumat risikan yang dikumpul sejak beberapa hari lepas, kami berjaya menahan empat lelaki untuk siasatan," kata pegawai berkenaan.

Beliau berkata operasi itu bermula pada pukul 12 tengah hari dan berakhir 1.15 tengah hari.

Tinjauan Bernama di lokasi operasi mendapati dua rumah diperiksa dan polis berjaya menahan dua lelaki di rumah itu manakala seorang lelaki ditahan ketika keluar dari belukar dan seorang lagi ditahan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang mencurigakan.

Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam serang hendap oleh kumpulan pengganas bersenjata. Kejadian pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan enam pengganas terbunuh.

2:00 petang : Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata Ops Daulat masih diteruskan selepas operasi pembersihan (mopping-up) fasa pertama di beberapa kawasan yang dikenal pasti selesai.

Beliau berkata, operasi pembersihan itu bertujuan memastikan tahap bahaya di kawasan kecil yang dikenal pasti sebelum langkah penggeledahan seterusnya dijalankan.

"Apabila operasi pembersihan fasa pertama ini selesai, satu kumpulan lain yang akan mengambil alih operasi penggeledahan secara terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama dengan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar, di sini, sebentar tadi.

12:15 tengah hari : Pasukan keselamatan akan mengumumkan jumlah kematian dan kecederaan pengganas Sulu yang diserang dalam operasi besar-besaran semalam apabila Ops Daulat selesai sepenuhnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media di sini, pagi Rabu bagaimanapun enggan menjelaskan bila operasi tersebut akan berakhir.

Menurutnya sehingga kini operasi mencari dan menggeledah baki pengganas Sulu masih diteruskan.

12:00 tengah hari : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan seorang pengganas Sulu ditembak mati dalam operasi menggeledah di Kampung Tanduo kira-kira pukul 6.45 pagi Rabu.

Ismail turut menasihatkan agar orang awam berhati-hati kerana beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pengganas kini menyamar sebagai penduduk kampung.

Bagaimanapun Ismail enggan mendedahkan butiran lanjut Ops Daulat termasuk jumlah mayat pengganas yang ditembak mati.

Sementara itu menerusi kenyataan media yang dimuatkan di laman Facebook PDRM, pasukan keselamatan itu menyatakan kemungkinan operasi pembersihan dan penggeledahan terpaksa diperluaskan daripada sasaran asal kerana terdapat tanda-tanda kumpulan pengganas bergerak ke satu lokasi lain.


Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger