Khalid menjelaskan keputusan itu dibuat oleh ahli lembaga pengarah KSSB mengambilkira maklumat yang diperolehi selepas Wan Abdul Halim tidak memberi respon terhadap inkuiri dalaman yang dijalankan.
"Bukan pecat...keputusan ahli lembaga pengarah telah meminta CEO untuk jawab pertanyaan yang telah dibincangkan dalam apa yang dipanggil inkuiri dalaman, dan proses ini berlaku.
"Dia tidak menjawab, lembaga pengarah buat keputusan untuk tidak melantik beliau meneruskan kerja sebagai ketua eksekutif," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di SUK hari ini.
Justeru katanya tidak ada isu berbangkit mengenai Abdul Halim tidak dipanggil membela diri sepertimana didakwa sesetengah pihak.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Halim dipecat daripada jawatan CEO KSSB oleh lembaga pengarahnya atas alasan salah guna kuasa dan melanggar prosedur operasi.
KSSB merupakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang ditubuhkan bagi menyelia industri pasir di negeri itu.
Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pernah mendakwa ketidaktelusan pengurusan KKSB menyebabkan sasaran awal syarikat itu mengutip RM150 juta setahun gagal dicapai, sebaliknya hanya mampu mengumpul RM140 juta untuk tempoh tiga tahun (2009-2011).