Namun, apa yang ada hanyalah pameran lukisan catan pelbagai motif menghiasi hampir keseluruhan dinding dan lantai muzium setinggi dua tingkat itu.
Begitupun, kehadiran sepasang remaja berhampiran penulis menampakkan mereka benar-benar teruja dan mula melakonkan pelbagai ekspresi wajah serta tubuh seakan-akan berinteraksi dengan lukisan tersebut.
Selepas aksi mereka dirakam, ternyata hasil bidikan kamera sama sekali berbeza dengan apa yang dilihat dengan mata kasar.
Apa tidaknya, daripada satu lukisan lantai biasa, namun dengan aplikasi teknik tiga dimensi (3D), lukisan itu kelihatan hidup dalam gambar.
"Dalam foto ini, saya kelihatan seperti sedang berjalan di atas titi kayu yang kecil dan sempit untuk menyeberangi lubang hitam di dalam gua.
"Hakikatnya, saya hanya berdiri di lantai yang dilukis dengan teknik 3D.
"Begitu juga dengan imej sotong gurita ini. Dengan bayangan yang dilukis di sekitarnya, ia kelihatan benar-benar hidup," ujar seorang pengunjung, Ahmad Akmar Ibrahim, 23.
Dia yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengetahui tentang kewujudan muzium ini selepas melihat gambar-gambar yang dimuat turun dalam blog milik rakannya.
"Walaupun lukisan yang disediakan di sini tidak segah lukisan 3D jalanan yang popular di Barat, namun ia masih memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk merasai pengalaman berinteraksi dengan lukisan.
"Ia pastinya sesuatu yang menarik untuk dikongsi apatah lagi ia merupakan muzium yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Malaysia.
"Bayaran masuk yang dikenakan juga berpatutan," ujarnya yang merupakan penuntut di Fakulti Seni Lukis Seni Reka.
Menawarkan lima motif lukisan iaitu lukisan termasyhur, pengembaraan Makam Mesir, alam haiwan, kehidupan marin dan lukisan adiwira klasik, muzium yang memiliki keluasan 743 meter persegi ini muncul sebagai muzium 3D pertama di negara ini.
Artikel Penuh : [klik sini]