KENAPA PAS TIDAK GUNA MEDIA SENDIRI?

Wednesday 2 January 20130 comments


Media siber atau media baru bukanlah asing bagi PAS. Malah komunikasi di kalangan pemimpin dan penyokong PAS hari ini lebih cepat dan berkesan dengan penggunaan teknologi baru. Sebab itu mudah bagi PAS menggembleng penyokong menyertai aktivitinya.

Oleh itu adalah kurang munasabah bagi PAS masih mahu menuntut supaya presiden mereka diberi peluang untuk membuat penjelasan berhubung Amanat kontroversil yang dikeluarkannya 31 tahun lalu di televisyen arus perdana.

 

Sudah pasti PAS tahu bahawa tidak mungkin permintaan ini dipenuhi. Sudah berulang kali diperdebatkan soal keperluan pihak pembangkang diberi peluang bersuara melalui media awam seperti radio dan televisyen bagi menjelaskan pendirian politik mereka, tetapi ditolak.

Justeru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang seharusnya peka bahawa “serangan” mutakhir yang dilancarkan oleh media yang dikatakan pro-kerajaan ini tidak mungkin akan memberinya peluang menghuraikan latar belakang dan tujuan beliau mengeluarkan amanat yang mengkafirkan Umno pada tahun 1981 itu.

Apatah lagi jika di antara tuntutan beliau kali ini ialah program penjelasannya itu mesti dibuat secara langsung demi memastikan tidak ada suntingan boleh dibuat terhadap inti keterangannya kelak.

Malah PAS awal-awal lagi menyatakan bahawa dalam program ia hanya mahu Haji Hadi seorang sahaja dipaparkan dan ia enggan ada panel untuk mengajukan sebarang soalan kepada presiden PAS itu.

Muncul di TV, PAS ada agenda tersembunyi

Bagaimanapun bak kata orang tua-tua, “jika tidak ada-ada, tidakkan tempua bersarang rendah”. Tentu Haji Hadi dan PAS ada agenda lain ketika membuat cadangan sedemikian.

Dengan mengusulkan supaya diberi peluang membuat penjelasan di kaca televisyen dengan keyakinan bahawa ia pasti ditolak, Hadi dan PAS memang mahu menyambut reaksi kerajaan itu sebagai satu dalil lagi bahawa kerajaan memang tidak bersikap adil terhadap PAS. Dalam istilah popular PAS - kerajaan zalim.

 

Mungkin ini akan dijadikan satu strategi komunikasi PAS untuk menghimpun peluru menyerang dan menyemarakkan lagi kebencian rakyat dan penyokong PAS khususnya terhadap kerajaan. Dengan mengalih fokus daripada isu amanat yang kontroversil itu, Hadi dan PAS kini akan mengajak rakyat memusatkan perhatian kepada persoalan akses media.

Akhirnya, isu kesan dan hukum amanat Haji Hadi akan berlalu begitu sahaja dan perhatian akan kembali kepada usaha memperkasa serangan pada soal ketidakadilan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

Soalnya mengapa PAS mahu mengelak isu ini berpanjangan?

Kemungkinannya begini. Rentetan isu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan di akhir muktamar PAS lalu bahawa Umno adalah parti kafir, amanat Hadi ini akan terus mengukuhkan persepsi umum bahawa memang menjadi satu kegemaran PAS untuk mengkafirkan orang lain.

Jika dos agama dan fatwa sebegini kerap digunakan, rakyat akan kurang selesa. Malah mengikut hukum, isu takfir ini memang amat tidak digalakkan. Dengan kekuatan media BN, PAS khuatir pendekatan politik sebegini akan “memualkan” orang Islam “biasa”.

Maka isu Amanat Hadi harus dilempiaskan atau dimatikan segera.

Malah jika PAS berpendapat bahawa isu serangan terhadap Haji Hadi berhubung kes amanatnya itu sudah terlalu lama dipermainkan oleh media arus perdana dan perlu diperjelaskan, PAS tidak perlu menunggu jawapan positif Menteri Komunikasi, Datuk Rais Yatim untuk menggunakan RTM atau TV3.

Hadi tak perlukan stesen TV tempatan

Kemahiran teknologi siber PAS pun bukan kepalang. PAS boleh memilih di mana rakaman penjelasan Haji Hadi itu hendak dibuat. PAS ada dua kerajaan negeri. Soal kemudahan tidak timbul. Rakaman atau siaran langsung penjelasan Haji Hadi boleh dibuat melalui teknologi maya.

Lebih menarik lagi PAS boleh mengirimkan rakaman penuh penjelasan Hadi itu kepada stesen-stesen televisyen dan mempelawa mereka menyiarkannya pula. Maka soal suntingan dan sabotaj tidak timbul.

Malah jika difikirkan lebih jauh, mengapa PAS perlu membantu media arus perdana yang disifatkannya selama ini sebagai “tidak adil” melonjakkan kedudukan atau “ratings” mereka jika kenyataan seumpama itu boleh terus mengukuhkan “rankings” TVPAS dan Harakahdailynya?

PAS terus bermain politik, Anwar pula seakan membisu

Isu Amanat Hadi tercetus lantaran politik. Nampaknya untuk keluar daripada kontroversi ini PAS masih terus bermain politik. Namun persoalan yang jelas ialah mengapa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membisu berhubung isu ini?

Bukankah ketika isu Amanat Hadi ini tercetus, beliau sahajalah dalam kabinet Dr Mahathir Mohamed yang berpendirian bahawa kerajaan tidak usah mengambil tindakan terhadap Haji Hadi agar Hadi tidak menjadi “syahid politik”.

Tidakkah itu membayangkan bahawa ketika itu Anwar sebenarnya berkeyakinan bahawa Amanat Hadi itu salah dan memecahbelahkan umat?

Namun kerana perkiraan politik ketika itu beliau tidak mahu memberi keuntungan besar kepada PAS menjaja sebarang isu Hadi ditahan atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kini atas dasar mencari kemenangan politik Anwar juga hanya “membatu” kan diri. Adalah jelas, Anwar dan PAS mengutamakan politik daripada kebenaran.

Sumber: AntaraPos
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger