#SaveSlgr : JIJIK!!! NAJIS BERTABURAN ATAS JALAN

Thursday 20 December 20120 comments


PANDAN PERDANA - Penduduk yang menghuni di Flat 700 kesal apabila masalah paip pembetungan bocor sejak dua minggu lalu masih belum dibaiki pihak bertanggungjawab.

Seorang penduduk, Chew Chee Lan, 55, berkata, keadaan yang sudah berlanjutan berminggu-minggu itu turut membuatkan penduduk berasa mual dan dirinya sendiri pernah mengalami sesak nafas.

“Selain bau busuk yang meloyakan, najis juga kadangkala bertaburan di atas jalan dan boleh menyebabkan penyakit kepada penduduk,” katanya semasa lawatan wakil dari Pejabat Penyelaras Dun Teratai di Flat 700 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Biro Aduan Awam Dun Teratai, Ben Liew dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat 700, Tong Tick Chong.

Sementara itu, Tick Chong berkata, sejak 15 tahun penduduk tinggal di situ, ia kes ketiga kebocoran paip pembetungan berlaku.

“Pada kes kali ini, saya telah membuat aduan kepada Indah Water Konsortium (IWK),” katanya.

Seorang lagi penduduk, A S Thiruchelvam, 50, berkata, penduduk bimbang dengan tahap kesihatan mereka sekiranya kebocoran atau paip pembetungan ini tidak disedut atau dibaiki dengan segera.

“Saya juga bimbang dengan kanak-kanak yang bermain di bawah flat dan memijak sisa najis yang melimpah sehingga membawa masalah lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, Ben Liew berkata, dia telah menghubungi IWK untuk mengambil tindakan segera bagi menyedut atau membaiki pembetungan di flat ini.

“Sekiranya terdapat bayaran yang dikenakan IWK, pihak saya akan membayar bagi pihak penduduk kerana mahu masalah yang sudah berlarutan ini diselesaikan segera.

“Memandangkan sekarang adalah musim hujan dan penduduk juga kerap membuat program menjelang tahun baru, saya tidak mahu masalah ini menghantui penduduk dan mengundang kurang selesa kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, dia turut berharap pihak berkaitan dapat membuat penyelenggaraan lebih kerap.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan pihak IWK datang menyelenggara di pembetungan di Flat 700 selepas sidang media berakhir dengan penduduk, semalam. - Sinar
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger