TEMBERANG...Zaidi (duduk, tiga dari kiri) kononnya membuat pendedahan 12,296 senarai pemilih yang didakwa pengundi hantu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer. |
SPR dalam kenyataannya berkata, sehingga suku tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer mempunyai seramai 48,372 orang pemilih berdaftar.
Daripada jumlah itu, terdapat 18,009 orang pemilih yang alamatnya tidak lengkap dan hanya dicatatkan nombor rumah sahaja.
"Pada masa itu, keperluan alamat hanya untuk dilengkapkan pada borang permohonan bagi membantu SPR menentukan lokasi pemilih.
"Tiada keperluan bagi SPR untuk merekodkan alamat lengkap dalam pangkalan data SPR, hanya selepas 16 Julai lalu barulah SPR merekodkan alamat sepenuhnya berdasarkan alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika proses pendaftaran dijalankan,'' kata SPR.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab laporan akhbar pembangkang yang mendakwa 12,296 orang pemilih di DUN Taman Templer mencurigakan.
Mengulas isu status kewarganegaraan yang didaftarkan sebagai pemilih di Parlimen Ampang, SPR berkata, kawasan itu mempunyai seramai 82,073 orang pemilih berdaftar sehingga suku tahun 2012.
Menurutnya, semua urusan permohonan pemilih itu telah melalui pelbagai tapisan bagi menentukan pemilih yang layak sahaja didaftar.
Tambah SPR, semasa badan itu mempamerkan daftar pemilih tambahan, pihaknya telah menerima sebanyak 58 bantahan dengan alasan pemohon bukan warga negara.
"Kita menerima 56 bantahan itu dan nama-nama tersebut tidak dimasukkan dalam daftar pemilih.
"Semasa pameran, SPR telah menerima empat bantahan dengan alasan yang sama dan Siasatan Awam menerima semua bantahan dan empat nama itu tidak dimasukkan dalam daftar pemilih tambahan suku 2012," ujarnya.
mimr