Bagi mengelak penduduk di Shah Alam tertipu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) akan melakukan operasi besar-besaran bagi membanteras premis makanan yang gagal mempamer logo dan sijil halal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata JAKIM tidak akan berkompromi, malah bakal mengenakan tindakan tegas terhadap premis yang gagal berbuat demikian.
Beliau berkata tindakan itu selaras dengan penguatkuasaan peraturan mempamer logo dan sijil halal JAKIM, sekali gus pengusaha dan pemilik premis makanan yang gagal berbuat demikian bakal dikenakan tindakan undang-undang.
"Melalui pindaan akta (Akta Perihal Dagangan (APD)1972) baru-baru ini, jabatan ini diberi kuasa untuk turun padang melakukan serbuan, tidak seperti sebelum ini, yang mana JAKIM perlu menumpang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan apabila mahu melaksanakan satu-satu operasi serbuan.
"Malah kita juga telah memberi masa yang cukup kepada pengusahan premis untuk mendapatkan logo halal JAKIM. Mereka yang masih berdegil akan dikenakan tindakan," katanya.
Menerusi pindaan akta itu, hanya sijil dan logo halal yang dikeluarkan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri akan diguna pakai.
Berikutan itu, pengusaha premis diberi tempoh sehingga bulan lepas untuk mendapatkan logo pengesahan halal JAKIM, dan jika gagal berbuat demikian, mereka berdepan denga maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna.
Sila laporkan kepada pihak berkuasa jika pengusaha dan premis makanan menggunakan logo Halal seperti di bawah.
Ini adalah logo Halal JAKIM yang lama dan tidak dikeluarkan lagi. |