KUALA KUBU BHARU - Paras takungan air di Empangan Sungai Selangor di sini masih lagi tidak menunjukkan perubahan walaupun hujan lebat turun membasahi bumi Selangor sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Mynewshub.my sekali lagi ke empangan itu petang semalam, jelas melihat situasi cemas apabila paras takungan air masih tidak naik.
Apa yang lebih membimbangkan, berlaku penurunan kapasiti takungan air di empangan itu.
Jelas kelihatan beberapa lokasi di empangan telah kering dan keadaan menunjukkan perbezaan ketara berbanding sebelum ini.
Bagi mendapat bukti keadaan di sana, pihak kami telah mengambil beberapa gambar terkini untuk dibandingkan dengan keadaan minggu lepas.
Berikut adalah gambar yang menunjukkan perbezaan paras air yang diambil petang semalam dan minggu lepas.
Selasa lalu, Mynewshub.my melaporkan kapasiti air Empangan Sungai Selangor telah menyusut sehingga ke tahap 52 peratus.
Empat sungai iaitu Sungai Selangor, Sungai Gerachi, Sungai Liut dan Sungai Chilling yang menjadi punca kepada bekalan air ke empangan itu juga semakin kering.
Tinjauan semalam juga memperlihatkan, aliran sungai-sungai tersebut masih tidak menunjukkan sebarang perubahan dan terus lesu.
Beberapa pakar meramalkan krisis air Lembah Klang menjadi kritikal menjelang tahun 2014.
Komitmen kerajaan Pusat adalah jelas untuk meneruskan rancangan seperti Projek Logi Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) bagi mengatasi krisis bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Namun, rancangan Kerajaan Pusat itu tidak mendapat kerjasama yang baik karipada Kerajaan Selangor.
Laporan pakar menjangkakan masalah bekalan air di ketiga-tiga kawasan terbabit bakal meruncing menjelang tahun 2015 dan 2016.
Jika situasi semasa berterusan, krisis air yang melanda pada tahun 1997 dijangka akan berulang kembali.
Kejatuhan kapasiti air Empangan Sungai Selangor diakui Menteri Besar, Tan Sri Abudl Khalid Ibrahim yang merancang untuk mengadakan pembenihan awan dalam tempoh terdekat.
Situasi kehilangan air mentah dalam jumlah yang banyak di empangan berkenaan merupakan satu tamparan yang hebat kepada Khalid yang sebelum ini beriya-iya memberitahu kepada media bahawa empangan di negeri itu penuh.
Perlu diingat yang Sungai Selangor membekalkan air kepada 60 perauts rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan sekitar Lembah Klang.
Daripada mana sumber air baru akan diperoleh untuk Selangor memandangkan pemindahan air dari Pahang sudah pun ditolak kerajaan negeri?
Kawasan tadahan air terakhir pun sudah dimajukan untuk Skim Sungai Selangor.
Persoalan yang timbul kini ialah, apakah kemampuan untuk membekalkan air terawat dalam jangka masa panjang dapat dipenuhi jika bekalan air mentah sendiri tidak cukup seperti yang dialami Empangan Sungai Selangor pada masa kini?
SUMBER: Mynewshub.my
mimr