Mohd Azhar menunjukkan keadaan keretanya yang dipenuhi habuk dan debu. |
Seorang penduduk, Mohd Azhar Ahmad, 44, meluahkan rasa terkilannya terhadap pencemaran persekitaran yang didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembinaan bangunan berdekatan kediamannya.
“Kami sudah tidak tahan lagi setiap hari berhadapan dengan masalah habuk dan debu simen. Lebih teruk lagi kenderaan yang diletakkan di hadapan bangunan ini kotor teruk terkena simen.
"Keselamatan penghuni dan pengunjung di premis berhampiran tidak terjamin. Pemaju dilihat seperti tidak mengendahkan keselamatan nyawa dan harta benda kami," katanya.
Mohd Azhar berkata, dia terpaksa membelanjakan wangnya setiap hari untuk mencuci kenderaan yang terkena habuk simen dari projek pembinaan tersebut.
“Setiap hari kami terpaksa keluarkan duit. Kami berpendapatan sederhana dan jika perkara ini berlarutan kepada siapa kami patut menuntut ganti rugi? Keadaan cat dan cermin kereta juga semakin teruk,” katanya.
Dia turut mendakwa, sebelum ini pernah berlaku kejadian serpihan batu jatuh menimpa kenderaan salah seorang penghuni di situ.
“Saya berharap pihak bertanggungjawab seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera dan mengutamakan aspek keselamatan.
“Sudah beberapa kali kami penghuni dan pemilik premis perniagaan di sini membuat aduan berhubung perkara ini, namun tiada tindakan susulan diambil pihak bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, tinjauan penulis turut mendapati tapak pembinaan tersebut dilihat kurang menitikberatkan aspek keselamatan dalam pembinaan dengan tidak memasang jaring keselamatan.
Malah, disebabkan bimbang kenderaan mereka rosak ditimpa objek daripada projek pembinaan tersebut atau kotor terkena habuk, rata-rata orang awam yang berkunjung ke kawasan itu mengelak daripada meletak kenderaan berdekatan tapak projek berkenaan kerana tidak mahu menanggung risiko tersebut.
mimr