Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, topik itu dipilih mengambil kira perkembangan semasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) khususnya yang berkaitan dengan kepentingan penyertaan golongan muda dalam pilihan raya umum.
"Sebagaimana dua debat sebelum ini, kami melihat pembahas yang ditemukan kali ini akan membincangkan topic yang amat menarik ini dengan membina dan konstruktif, mewakili dua aliran ideologi yang berbeza," kata beliau.
Debat Sinar Harian kali ini, yang akan berlangsung pada jam 5 petang di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, akan dijayakan oleh Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya.
Seperti dua debat sebelum ini, program kali ini juga atas jemputan sahaja, kata Abdul Jalil.
“Oleh itu, kami berharap mereka yang menerima jemputan akan berada awal pada hari debat akan dilangsungkan,” katanya lagi.
Namun katanya, mereka yang tidak berkesempatan mengikutinya secara langsung boleh menonton rakaman menerusi saluran Astro Awani, Bernama Radio 24 dan mobtv mulai jam 9 malam pada hari debat.
Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
SUMBER SINAR HARIAN