#1M4U "JIKA NEGARA AMAN, SEGALA YANG DIIMPI PASTI JADI KENYATAAN" - PM

Monday, 16 July 20120 comments



KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan RM100 juta kepada Dana Sukarelawan Satu Malaysia (DRe1M) bagi menyokong aktiviti sukarelawan di kalangan belia negara ini.

Menurut beliau, dana ini boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berbentuk sukarelawan melibatkan golongan belia.

"Belia digalakkan memohon menggunakan permohonan di atas talian (online) bagi memudahkan dan mempercepatkan proses bagi mendapatkan dana," kata beliau pada majlis pelancaran program 1Malaysia For Youth (1m4U) di sini, hari ini.

Tambah beliau, dana ini juga merupakan 'seed money' bagi para belia gunakan dalam menjalankan sebarang aktiviti yang berasaskan sukarelawan.

"Apa-apa aktiviti berbentuk sukarelawan seperti gotong-royong, membersihkan kawasan pantai layak memohon dana ini," kata beliau.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan 2013 sebagai Tahun Sukarelawan Negara.

Selain itu, stesen radio im4u akan dilancar tidak lama lagi.

"Tujuannya ialah untuk mencungkil bakat dan idea para belia negara. Suara belia adalah untuk negara bagi menjamin pembinaan negara," katanya.

Katanya, transformasi negara dan suara belia adalah sangat penting bagi pembangunan sebuah negara yang lebih maju di masa akan datang.

"Gelombang belia yang berhimpun pada hari ini bakal mengangkat martabat negara lebih tinggi di mata dunia.

"Jika belia terus menyokong kerajaan, belia jugalah yang bakal melakukan transformasi yang lebih maju dan meningkatkan pendapatan negara," katanya.

Malah, beliau juga menyeru para belia negara ini agar cintakan keamanan yang dikecapi bagi memastikan ia tidak dicalar oleh mana-mana insiden yang memberi imej negatif kepada masyarakat dunia.

Menurutnya, negara tidak mahu menimbulkan sebarang unsur perbalahan atau rusuhan kerana Malaysia dikenali sebagai negara yang aman dan makmur.

"Tujuan utama lokasi KLCC ini dipilih bagi pelancaran program 1Malaysia For Youth (1m4U) juga bagi membuktikan kepada para pelancong yang Malaysia merupakan negara yang maju dan makmur," katanya.

Katanya lagi, jika negara aman, segala yang diimpi pasti menjadi kenyataan.

"Belia jugalah yang menentukan masa depan negara menjadi lebih baik dan diharapkan transformasi besar-besaran bakal menjadi kenyataan," kata beliau.


mimr
Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger