PANAS! YB NASHARUDDIN MAT ISA KETUAI DELIGASI TEMUI NAJIB?

Thursday, 21 June 20120 comments



KUALA LUMPUR 20 Jun - Malaysia terus teguh menyokong pembangunan Palestin dengan menyatakan komitmen baru untuk membantu pembinaan sekolah di negara di bawah cengkaman rejim Zionis itu.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan delegasi Yayasan Institusi Antarabangsa Al-Quds di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah yayasan itu, Dr. Mohamad Akram Al-Adlouni berkata, Najib telah menyatakan keprihatinan Malaysia terhadap penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin khususnya di Baitulmaqdis.

Menurutnya, Najib menyatakan sokongan untuk berkongsi perkara itu dengan anggota Kabinet dan rakyat Malaysia supaya membantu pembinaan sekolah di Baitulmaqdis berikutan kekurangan bilik darjah dan sekolah di negara tersebut.

“Beliau (Najib) telah berjanji akan berbincang mengenai projek (pembinaan sekolah) itu dengan Kabinet terlebih dahulu.

“Ini merupakan sumbangan yang amat berharga daripada pimpinan kerajaan Malaysia serta rakyatnya kepada rakyat Palestin dan kami sangat menghargai keprihatinan ini," katanya ketika ditemui selepas pertemuan itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa berkata, Malaysia akan membiayai pembinaan sebuah bangunan kolej sains kesihatan bernilai RM15.8 juta (AS$5 juta) di Al-Quds, Baitulmaqdis.

Katanya, komitmen tersebut yang disuarakan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan itu sebagai tanda komitmen kerajaan untuk terus membantu pembangunan rakyat di Palestin.

Beliau berkata, pertemuan selama sejam itu amat bermakna kepada kedua-dua belah pihak dan membuktikan Malaysia tetap teguh menyokong pembangunan rakyat di Palestin.

“Pihak kami akan segera menguruskan untuk membawa dekan kolej berkenaan ke Malaysia dan menerima cek tersebut," katanya.

Yayasan Al-Quds adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan Yayasan Al-Quds Antarabangsa, sebuah yayasan antarabangsa bertujuan memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Penubuhan yayasan ini menzahirkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk bebas daripada cengkaman kezaliman Israel.

Terdahulu 10 anggota delegasi yayasan itu turut bertemu dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. - Utusan 

mimr
Share this article :

Random Posts

 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger