UCAPAN NAJIB MEMBAKAR SEMANGAT ANGGOTA UMNO

Saturday, 12 May 20120 comments



KUALA LUMPUR 12 Mei - Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi di hadapan lebih 100,000 anggota UMNO, dianggap sebagai bekalan dan peringatan penting kepada anggota parti itu sebelum pilihan raya umum ke-13.

Masing-masing menganggap ucapan Presiden UMNO itu sebagai pembakar semangat untuk semua anggota UMNO berjuang habis-habisan untuk merealisasikan isi perjuangan parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ucapan itu mesti difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tenaga dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal dalam perjuangannya.

"Seperti apa yang dikatakan oleh Presiden kita mesti bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO merupakan parti yang amat berjasa kepada rakyat dan ia perlu kekal," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan ulang tahun ke-66 UMNO di Stadium Bukit Jalil di sini malam tadi.

Shafie menarik perhatian berkata perhimpunan itu memberi gambaran bahawa anggota parti sudah bersedia berjuang untuk mengembalikan kegemilangan sebagai parti Melayu terunggul.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap agar semua anggota UMNO memberi komitmen yang penuh untuk melaksanakan apa yang diucapkan oleh Presiden parti.

"Apa yang disampaikan oleh Presiden terbukti bukan sekadar retorik, kita harus bekerja dengan lebih keras lagi," katanya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan ucapan Najib penuh dengan semangat dan jelas menunjukkan bahawa perpaduan bangsa Melayu semakin kukuh.

Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengingatkan semua anggota parti khususnya Puteri UMNO supaya menghayati amanat daripada Presiden parti agar bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO pada pilihan raya akan datang. - BERNAMA

Share this article :
 
Support : S.A.R
Copyright © 2012. SHAH ALAM REBELS - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger